MALAYSIA
Tabung Haji sangkal dakwaan belanja RM20 juta untuk penjenamaan semula

TH turut menjelaskan, peruntukan sebenar bagi proses yang digelar 'peremajaan jenama' atau 'brand rejunevanation' hanya RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun.
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan bahawa pihaknya membelanjakan sebanyak RM20 juta bagi tujuan penjenamaan semula atau 'rebranding'.
Ringkasan AI
- Lembaga Tabung Haji menafikan dakwaan membelanjakan RM20 juta untuk penjenamaan semula dan menjelaskan peruntukan sebenar adalah RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
- Proses peremajaan jenama melibatkan tinjauan pasaran dan libat urus bersama pendeposit untuk memahami keperluan mereka, selaras dengan perubahan demografi dan peningkatan transaksi digital.
- TH merancang kempen menabung awal dan sistematik bagi membantu umat Islam mencapai syarat kemampuan menunaikan haji serta memastikan kelestarian institusi melalui strategi baharu.
“TH telah memperkukuhkan jenama beberapa kali sebelum ini dan langkah itu merupakan pelaburan penting untuk mengubah minda serta menarik minat umat Islam menabung secara sistematik bagi memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TH turut menjelaskan, peruntukan sebenar bagi proses yang digelar 'peremajaan jenama' atau 'brand rejunevanation' hanya RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun.
"Proses ini melibatkan tinjauan pasaran meluas dan libat urus bersama pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka dan TH mendapati perubahan demografi masyarakat Islam Malaysia memberi kesan yang amat ketara.
"TH mempunyai 9.6 juta pendeposit iaitu hanya 50 peratus dari penduduk Muslim negara dengan lebih 80 peratus daripada transaksi kewangan ketika ini dilakukan secara digital dan dalam talian," ujarnya.
Menurut TH lagi, setakat ini, lebih 53 peratus daripada pendeposit TH mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 dan ia jauh daripada mencukupi untuk persediaan menunaikan haji.
"Kos menunaikan haji bagi seorang jemaah kumpulan berpendapatan rendah (B40) pada tahun 2025 adalah sebanyak RM15,000," menurut kenyataan itu.
Justeru, TH sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam negara menabung awal, konsisten dan sistematik bagi meningkatkan simpanan ke tahap membolehkan mereka menunaikan ibadat haji, serta memastikan pelaburan stabil demi kelestarian institusi.
Lembaga Pengarah TH turut memutuskan untuk mengkaji semula strategi supaya kekal berdaya saing, memberi perkhidmatan terbaik serta menarik lebih ramai umat Islam Malaysia khususnya golongan muda menjadi pendeposit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami