Lembaga Tabung Haji (TH) meningkatkan pemantauan kesihatan jemaah haji Malaysia musim ini berikutan penularan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov) di Arab Saudi dan penyakit Virus Ebola (EVD) di Afrika Barat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail berkata TH dan Kementerian Kesihatan akan bekerjasama bagi memastikan langkah pemantauan kesihatan itu dilakukan terhadap 22,320 jemaah haji.

"Sebanyak 600 petugas haji dihantar ke Tanah Suci untuk memantau dan menjaga kebajikan jemaah. Hampir setengah daripada petugas berkenaan adalah dari Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Putra di sini, malam tadi.

Kira-kira 2,000 bakal jemaah dari Wilayah Persekutuan menyertai kursus itu.

Ismee berkata kerajaan Arab Saudi juga akan menjalankan pemantauan berikutan penularan dua penyakit itu.

"TH sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan berhubung penularan penyakit itu, panduan berkenaan akan dimaklumkan kepada para jemaah untuk diambil perhatian.

"Setakat ini, belum ada garis panduan baharu dikeluarkan oleh kementerian berhubung perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, Ismee berkata penerbangan pertama yang akan membawa sebanyak 279 jemaah haji ke Jeddah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dekat sini adalah pada 27 Ogos ini manakala penerbangan akhir pada 27 Sept depan.

Sebanyak 64 penerbangan dari tujuh lapangan terbang di seluruh negara akan membawa jemaah Malaysia musim ini, katanya.

Mengenai kursus perdana haji, beliau berkata ia akan diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula semalam hingga 23 Ogos depan.

Kursus itu akan mendedahkan jemaah kepada latihan amali secara simulasi mengenai tawaf, saie, melontar jamrah serta amalan wajib lain bagi ibadah haji.