Lembaga Tabung Haji (TH) yakin akan mendapat kuota tambahan untuk jemaah haji pada tahun ini berdasarkan hubungan baik kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, permohonan sebanyak 10,000 kuota tambahan telah pun dibuat kepada kerajaan Arab Saudi yang dijangka memberi maklum balas pada bulan depan.

"Kita berdoalah agar kita dapat kuota tambahan 10,000 untuk kita berikan kepada muassasah lebih ramai untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

"Kami sedang berusaha, ia belum lulus dan mungkin dalam bulan Julai ini kita akan dapat respons daripada kerajaan Arab Saudi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti di Sungai Limau, di sini pada Khamis.

Katanya, lazimnya, Malaysia setiap tahun membuat permohonan itu menerusi Pejabat Perdana Menteri dan menerima kuota tambahan tersebut walaupun pada saat-saat akhir.

Abdul Azeez berkata, buat masa ini kuota haji jemaah Malaysia masih kekal 22,320 dan sebanyak 5,000 kuota tambahan diterima pada tahun lepas.

Katanya, TH juga telah menyusun atur pelan-pelan tindakan berkaitan pengurusan jemaah haji, sekiranya kuota tambahan 10,000 yang diminta itu diluluskan.

Mengenai Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti tersebut, Abdul Azeez berkata ia merupakan satu inisiatif terbaharu TH dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya khusus bagi mereka yang tinggal di luar bandar atau berjauhan dari pejabat atau cawangan TH.

Katanya, perkhidmatan secara bergerak itu membolehkan pendeposit-pendeposit TH mendapat perkhidmatan di kawasan mereka seperti di cawangan antaranya termasuk pengurusan transaksi simpanan dan pengeluaran, mengemas kini maklumat peribadi dan pengurusan haji.

"Pada masa ini, TH memperuntukkan empat buah van untuk tujuan itu dan diguna sama di Semenanjung Malaysia, dua di Sabah dan satu di Sarawak dan akan menambahnya lagi pada masa akan datang jika perkhidmatan itu mendapat sambutan," katanya.