BATU GAJAH: Fifi (bukan nama sebenar), 33, terpaksa menjadi pusher atau penjual dadah ketika berusia 14 tahun setelah ibu dan bapanya sering keluar masuk penjara akibat penyalahgunaan barang terlarang itu.

Dia tiada pilihan kerana perlu meneruskan kelangsungan hidup dan menyara lima adik-beradiknya yang lain, namun "duit panas" yang mampu diperoleh antara RM500 hingga mencecah RM5,000 sebulan pastinya tidak memberi keberkatan kerana akhirnya wanita itu tertangkap dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah.

"Keadaan ibu bapa yang terlibat dengan dadah membuatkan saya mengetahui mengenai bahan itu yang boleh menghasilkan duit, suatu ketika saya hilang punca untuk mencari wang menyara adik-adik, saya cari pelanggan ibu bapa dan membekalkan dadah kepada mereka," katanya kepada Bernama di pusat itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Fifi juga beberapa kali menjalani hukuman penjara kerana menggunakan dadah jenis syabu.

Lain pula kisahnya dengan Apit (bukan nama sebenar), 38, kerana kekhilafan dirinya menggunakan dan mengedar dadah, rumah tangga yang dibina musnah apabila isteri menuntut perpisahan daripadanya.

"Sudah tiga kali saya keluar masuk pusat tahanan kerana kesalahan menggunakan dadah dan menjadi pusher kerana pengaruh negatif rakan-rakan selain desakan hidup. Saya sungguh kesal kerana akibat sikap ini, saya terlepas detik-detik melihat anak tunggal membesar," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, kehidupannya di dalam tirai besi memberikan keinsafan kepadanya dan kini dia berjaya menghafaz tiga juzuk al-Quran.

Bagi Bulat (bukan nama sebenar), 33, mengambil upah membekalkan dadah akibat kehilangan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana COVID-19 menjadi titik hitam dalam hidupnya apabila ditahan dan dihukum pada 2022.

"Ketika itu saya bekerja kilang di Perlis, saya hilang kerja akibat PKP sedangkan saya perlu membayar sewa rumah dan menanggung adik-beradik di kampung," kata lelaki itu yang meraih upah hingga RM3,000 ketika menjadi pusher.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun, bertekad untuk menjadi insan baharu dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang, justeru kemahiran Sistem Latihan Dual Nasional (SDLN) yang diikuti semasa dalam tahanan di PPA Batu Gajah, akan digunakan sebagai mata pencarian apabila bebas kelak.

Fifi menjalani kemahiran membuat pastri, Apit menguasai kemahiran menjahit pakaian, manakala Bulat pula mengasah bakat dalam pertukangan kayu, setelah mengikuti program berkenaan selama enam bulan hingga setahun, mereka kini sudah cukup mahir dalam bidang masing-masing yang sebelum ini begitu asing buat mereka.

Pengarah PPA Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S. Tanabal berkata, selain itu, kursus lain yang ditawarkan kepada tahanan ialah pertukangan rotan.

Selain kemahiran berkenaan, Tanabal berkata, penghuni wanita turut diberi latihan pengurusan spa kecantikan secara bersemuka di luar premis penjara iaitu Spa My Pride yang menyediakan pelbagai khidmat kecantikan dan rawatan wajah.

PPA Batu Gajah kini menempatkan 499 tahanan terdiri daripada Orang Tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985) dengan tempoh tahanan hingga dua tahun.

Sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Henry Gurney Wanita, ia merupakan satu-satunya PPA yang menempatkan tahanan golongan itu yang kini mempunyai 41 tahanan wanita.

Jualan semua produk hasil tangan penghuni boleh didapati di Galeri Jualan Vokasional Industri di pekarangan premis PPA Batu Gajah dan orang ramai boleh menghubungi pusat itu melalui talian 05-3632255 bagi sebarang pertanyaan. - BERNAMA