JOHOR BAHRU: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini berkata, kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sudah mencapai tahap 17 peratus.

Beliau berkata penjadualan pembinaan projek nasional itu berjalan secara lancar bagi memastikan infrastruktur RTS Link Johor Bahru-Singapura itu disiapkan menjelang Disember 2024.

Menurutnya walaupun banyak cabaran yang dilalui, kementerian akan memastikan projek bilateral antara dua negara itu, akan cuba dipercepatkan agar pengoperasian yang ditetapkan pada Januari 2027 dapat dilaksanakan.

"Saya berpuas hati dengan perkembangan status kerja projek RTS yang berada di tahap 17 peratus. Dari segi teknikal, tidak mengalami sebarang isu cuma untuk mengalihkan laluan paip milik Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura.

"Pengalihan paip 900 milimeter dan 1,600 milimeter juga selesai daripada segi persetujuan dasar membabitkan republik itu dan akan dibentangkan di peringkat Kabinet dalam masa terdekat.

"Kementerian akan meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp), memantau prestasi pihak kontraktor untuk percepatkan pembinaan projek tersebut mengikut jadual," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan mengejut ke tapak projek RTS Link di Bukit Chagar, di sini hari ini.

Wee berkata, pihak kontraktor kini sedang membuat penanaman cerucuk sejak beberapa bulan yang lalu dan selepas itu lebih ramai pekerja pembinaan akan dibawa masuk ke lokasi pembinaan projek tersebut.

Beliau berkata, enam pakej pembangunan projek tersebut melibatkan kawasan depot, stesen dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) berjalan secara serentak dan memerlukan pekerja yang ramai.

"MRT Corp sedia berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan bekalan pekerja mencukupi, khususnya dalam keadaan menunggu kemasukan pekerja dalam bidang pembinaan.

"Ini antara cabaran yang perlu kita perhalusi, untuk pastikan tidak ada kelewatan kerana ini melibatkan dua buah negara dan perjanjian bilateral telah kita tandatangani, apapun projek ini perlu disempurnakan menjelang hujung 2026," katanya.

Selain itu, Wee berkata usaha mewujudkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan aliran trafik selepas projek RTS Link siap juga sedang dibincangkan.

Perincian penyediaan tiga jalan keluar masuk utama ke RTS Link dari Pandan, Jalan Lingkaran Dalam dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) turut dicadangkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas setelas projek itu siap.

Projek RTS Link, yang dijadualkan siap menjelang Disember 2026, dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.

Rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam, dengan itu membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya.

RTS Link adalah rangkaian rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

--BERNAMA



TAG : wee ka siong, RTS Link, johor bahru-singapura