PUTRAJAYA: Selepas pelbagai program dan kempen untuk menggalakkan ibu bapa membenarkan anak mendapatkan vaksin, tahap pencapaian vaksinasi bagi golongan tersebut masih lagi rendah, malah disifat membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sehingga 26 April 2022, kadar pemberian dos penggalak kepada warga emas adalah 76.8 peratus, manakala kadar pemberian dos 1 dan 2 untuk kanak-kanak adalah masing-masing 42.3 peratus dan 21.4 peratus.

Katanya, kadar vaksinasi kanak-kanak amat membimbangkan mengambil kira tarikh tutup 15 Mei semakin hampir.

“Dari Oktober 2021 hingga April 2022, sebanyak 245 kes Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada Kanak-Kanak atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan COVID-19 telah dilaporkan.

“Dua hari lepas kita juga menerima perkhabaran melalui laman media sosial Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan mengenai seorang kanak-kanak berumur sebelas tahun yang telah mengalami MIS-C, selepas dijangkiti COVID-19 dan telah meninggal dunia,” kata Khairy.

Tambahnya lagi, kanak-kanak malang berkenaan tidak sempat menerima sebarang dos vaksin.

Khairy berkata, kementerian tidak akan memanjangkan lagi tempoh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak (PICKids).

Keputusan itu, katanya lagi berdasarkan beberapa faktor, termasuk memastikan stok Pfizer mencukupi untuk mereka yang mencecah usia lima tahun pada tahun ini, selain berkait dengan tarikh luput vaksin, serta usaha mendapatkan ubat antiviral.

“Saya lihat mereka jalankan dengan baik sekali. Malangnya majoriti ibu bapa buat pilihan tidak benarkan anak mereka diberikan vaksin. Saya unjurkan, kita mungkin hanya capai 45 peratus saja.

“Tapi saya harap, ibu bapa masih lagi ada masa, dua minggu lagi, ambil peluang untuk dapatkan vaksin,” katanya lagi.

Khairy berkata demikian demikian ketika mengumumkan pelaksanaan protokol baharu, susulan keadaan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

Mengulas mengenai keadaan semasa yang lebih baik dan stabil, khususnya dalam suasana musim perayaan, Khairy mengingatkan semua pihak agar terus berwaspada.

“Aidilfitri kali ini adalah satu rahmat untuk kita raikan bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai selepas dua tahun kita memerangi pandemik COVID-19.

“Oleh itu dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini, menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan.

"Kebebasan ini bukanlah bermakna kita telah menang dalam peperangan melawan COVID-19 dan kita kena pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kementerian amat menyarankan semua individu untuk mengamal dan melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung untuk pastikan ahli keluarga yang berisiko tinggi dilindungi daripada mendapat gejala teruk COVID-19.