KUALA LUMPUR: Institusi tahfiz yang kekurangan dana dibimbangi mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar, kata Pengarah Pendidikan Yayasan Pendidikan Khalifah, Hasrizal Abdul Jamil.

Bahkan, tegas beliau lagi, apa yang turut dibimbangkan juga ialah aspek kebajikan dan gaji guru bermungkinan tidak dijaga dengan teratur sekiranya tiada pemantauan daripada pihak kerajaan.

Paling utama juga, kata Hasrizal ialah, sekiranya terdapat institusi yang mengabaikan soal pengambilan vaksinasi khususnya kepada kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

“Saya secara peribadi sangat bimbang sekiranya aspek keselamatan diabaikan kerana isu tidak cukup dana. Dari segi kebajikan guru, siapa yang sempurnakan soal pembayaran gaji.

"Kemudian jika membabitkan sekolah rendah, soal vaksinasi kepada kanak-kanak ini juga menjadi persoalan. Dan sekolah-sekolah ini juga, sekiranya tidak dipantau boleh menyebabkan benda-benda yang ditawarkan di sekolah itu memberikan kesan jangka panjang

“Misalnya saya dihubungi oleh beberapa orang mudir daripada beberapa sekolah tahfiz yang berbangga beritahu pada saya untuk jemput memberi ceramah di sekolah sebab sekolah itu semua Islam sahaja, tiada matematik, sains. Saya rasa panas hati bila dengar benda seperti itu,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.


Selain sekolah-sekolah tahfiz, Hasrizal juga menyentuh mengenai risiko pendidikan yang tidak sempurna kepada anak-anak yang melalui persekolahan di rumah atau homeschooling.

Katanya, hal itu turut menyentuh mengenai pelaksanaan modul dan silibus yang belum tentu memenuhi keperluan pembangunan anak-anak terbabit.

Homeschooling menjadi pilihan yang semakin bertambah. Tetapi mempunyai risikonya sendiri kerana ibu bapa yang mengoperasikan homeschooling ini, apa mekanisme untuk memastikan mereka boleh buat dengan baik.

“Dalam masa sama, sekiranya pemantauan itu dibuat dalam bentuk penaziran oleh PPD (Pejabat Pendidikan Daerah)  kepada sekolah kerajaan, maka itu akan memburukkan keadaan kerana itu yang menjadi asas kepada sekolah swasta menjauhkan diri daripada sekolah kerajaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hasrizal mencadangkan agar hal-hal ini diberikan penelitian yang khusus dengan kerjasama dan cadangan daripada semua pihak untuk memastikan sistem pendidikan negara berfungsi sepenuhnya demi manfaat anak-anak yang menjadi pemegang taruh utama.