KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan.

Ujarnya, beliau telah mengadakan perjumpaan khas bersama JPA serta membincangkan isu berkenaan.

"Sejak itu, minggu lalu, saya adakan perjumpaan khas dengan JPA, mereka katakan itu dasar sedia ada yang lalu.

"Saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita, keperluan sektor perubatan pergigian dan farmasi masih ada, maknanya program biasiswa JPA untuk sektor ini akan diteruskan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, tajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dihentikan berikutan bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

BACA: Henti taja bidang perubatan, pergigian, farmasi: KKM bincang semula dengan JPA

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan bahawa pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.