PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan semula bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung langkah menghentikan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula keputusan yang dibuat berlandaskan kajian pada tahun 2019 itu memandangkan terdapat beberapa perubahan baharu khususnya pasca-COVID-19.

"Kita juga telah berbincang di peringkat teratas untuk melihat dan mengkaji kembali keputusan  dan kajian dibuat pada 2019 itu.

"Kita tahu bahawa sebenarnya ada perubahan, berlaku selepas pasca-COVID-19. Mungkin ada perkara-perkara baharu yang kita kena lihat balik daripada kajian tersebut yang mungkin melihat kepada polisi-polisi baharu.

"Apapun kita juga akan terus buat perbincangan dengan JPA tentang perkara ini dan memang perbincangan sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Tinjauan Global Terhadap Penggunaan Tembakau oleh Dewasa (GATS) di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, katanya KKM mengakui bimbang sekiranya keputusan JPA itu bakal memberi kesan kepada minat pelajar sekolah untuk mengambil jurusan perubatan di peringkat pengajian tinggi.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan melihat secara menyeluruh dengan data dan tinjauan yang lebih tuntas sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Perubatan kesihatan merupakan suatu keperluan penting dan setiap jabatan di dalam KKM memerlukan antara satu sama lain," katanya.

Semalam media melaporkan, kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian KKM mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.