KUALA LUMPUR: Penyatuan blok di dalam Parlimen untuk mencapai satu hasrat bersama, ketika ini berkenaan solusi keluar dari krisis COVID-19, berdepan cabaran besar kerana tiada satu parti yang dominan untuk menggerakkan usaha itu.

Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar juga melihat, tiada pun seorang ahli politik yang memiliki kualiti dan memainkan peranan sebagai negarawan untuk memimpin yang lain supaya dapat berganding bahu demi Malaysia.

“Kalau mengambil contoh dari masa lampau, ketika krisis konfrontasi (Malaysia-Indonesia) 1964, kita tahu sokongan masyarakat Cina tidak begitu hebat kepada Perikatan pada Pilihan Raya Umum sebelumnya pada 1959.

“Tetapi kerana konfrontasi 1964 itu, Perikatan menerima sokongan daripada semua kaum termasuk daripada kumpulan-kumpulan tertentu dari Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Kata Chandra, walaupun keadaan sudah berubah dan tidak seperti waktu itu, ketika ini kita juga berdepan krisis besar malah jauh lebih besar daripada yang pernah berlaku dalam sejarah negara kita.

Sepatutnya ada sosok seperti Tunku Abdul Rahman, yang kata Chandra menjadi pemimpin yang disegani untuk menyatu padukan semua pihak pada ketika waktu genting begini.

“Beliau bukan sahaja sebagai Ketua Perikatan tetapi lebih daripada itu, beliau dilihat sebagai pemimpin bagi seluruh negara.

“Yang kita kata pendekatan ‘whole of nation’ itu memerlukan pemimpin, tapi tak wujud sekarang ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga meluahkan kekecewaannya melihat sesi Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin yang pada pengamatannya masih sama seperti kebiasaannya dahulu dan tidak menunjukkan sebarang sinar bahawa penyatuan boleh berlaku dengan baik dan lancar.

Begitupun, beliau berharap dalam bergerak ke hadapan, Dewan Rakyat dapat memberikan tumpuan mendalam terhadap perkara-perkara asas yang penting iaitu kesihatan dan pendidikan demi masa depan negara yang lebih baik.

Adakah sistem perkhidmatan kesihatan kita sudah memadai, juga bagaimana pendekatan kita dalam sistem pendidikan yang nyata terbongkar kelemahannya apabila pandemik melanda, dan hal-hal ini yang perlu diperbincangkan mereka di dalam Dewan yang mulia itu.

“Masanya sudah tiba untuk membuat satu bentuk analisis, mewujudkan satu bentuk pemikiran yang lebih mendalam untuk masa depan negara kita.

Tak ada parti, pemimpin yang dominan untuk gerakkan penyatuan - Penganalisis politik