DUNGUN: Gara-gara tidak memahami latihan yang diajar, seorang murid Tahun Tiga terpaksa menanggung kesakitan kerana cedera pada beberapa bahagian badan dipercayai dipukul ibu tirinya dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Keadaan mangsa disedari oleh seorang guru lelaki kira-kira jam 8 pagi pada Isnin lalu selepas murid berkenaan mengadu sakit pada bahagian belakang badan ketika perhimpunan di sekolah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, sebaik diperiksa oleh seorang guru wanita, mereka terkejut kerana mendapati terdapat kesan lebam teruk dan luka pada beberapa bahagian badan murid berkenaan sebelum membuat laporan polis.

"Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat 11 kesan pukulan, lebam dan luka pada badan mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek.

"Selain itu terdapat juga kesan lebam pada bahagian lengan tangan kanan dan kiri serta kesan lebam di kedua-dua paha," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Baharuddin memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa dipukul menggunakan rotan dalam bilik solat di sebuah rumah akibat gagal memahami latihan yang diajar suspek yang juga ibu tirinya.

Katanya, mangsa juga mengakui pernah dipukul menggunakan rotan tetapi tidak seteruk pada hari kejadian.

Baharuddin berkata, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik hasil perkahwinan bapa mangsa dan arwah ibunya.

"Mangsa mempunyai seorang kakak berusia 15 tahun dan merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam.

"Kejadian berlaku terhadap mangsa telah dilihat oleh kakaknya sementara ayah mangsa keluar bekerja sebagai pembantu kedai hardware (perkakasan)," katanya.

Susulan itu, Baharuddin berkata, polis menahan suspek berusia 30 tahun yang merupakan suri rumah kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah dan telah direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Dungun bermula Selasa hingga Jumaat.

"Kita telah mengeluarkan Borang Pol 59 (polis) telah kepada mangsa untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Dungun.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," jelasnya. - Sinar Harian