IPOH: Pembangunan Tasik Cermin di Gunung Rapat, di sini sebagai taman eko kuari ternyata memberikan impak besar kepada sektor pelancongan negeri Perak.

Di sebalik kontroversi yang pernah berlaku di kawasan ini tidak lama dulu, kini Tasik Cermin kian meniti di bibir ramai orang, termasuk pengunjung dari luar negara.

Jika dahulu kawasan ini kurang dibangunkan dan tidak begitu sesuai untuk pengunjung memandangkan kawasannya agak suram, namun kini suasana sudah berubah sama sekali.

Kawasan seluas 65 ekar itu kini diusahakan dengan kepakaran daripada individu yang berkelayakan, khususnya yang tahu selok belok dan keunikan tempat itu.

Menurut Pengarah Pelancongan dan Korporat Tasik Cermin Quarry Eco Park Ipoh, Siti Norlizawati Narawi, pihaknya sebelum ini giat membangunkan serta mempromosi kawasan itu bagi dijadikan produk pelancongan terbaharu negeri.

Ujar Siti Norlizawati lagi, jika dahulu pelancong hanya melawat lokasi wajib di Ipoh seperti gua, tokong dan sebagainya namun kini mereka memilih untuk datang ke Tasik Cermin.

"Pengunjung datang dari seluruh Malaysia, paling jauh Johor dan Kedah. Kebetulan pula ejen pelancongan sekarang memang mencari produk pelancong terbaharu.

"Saya difahamkan menerusi perbualan dengan mereka, ramai pengunjung yang mengikuti ejen pelancongan itu tidak lagi mahu ke lokasi-lokasi biasa seperti tokong dan sebagainya.

"Mereka nampak Tasik Cermin ini menjadi satu tempat persinggahan di Ipoh, sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang," katanya kepada Astro AWANI.

Foto ihsan Siti Norlizawati Narawi

Beliau menambah, pengunjung luar negara yang datang ke sini kebanyakannya dari Singapura, Perancis, German, Yaman dan Mexico.

Kebiasaannya mereka datang ke sini dengan bas persiaran. Tetapi ada juga datang menaiki kereta sewa.

"Mereka (pengunjung) boleh duduk di platform atau jeti di situ selama satu jam, hanya untuk lihat Tasik Cermin tanpa buat apa-apa.

"Mengikut kata pengunjung dari luar negara, mereka tahu tentang kewujudan dan keindahan Tasik Cermin di media sosial, khususnya Instagram," katanya lagi.

Tidak hanya itu, beliau turut memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan termasuk Orang Asli di sini.

"Pasukan saya terdiri daripada anak tempatan dan Orang Asli. Pekerja Orang Asli ini selalunya kerja bermusim maksudnya bila ada keperluan baru mereka datang bekerja," katanya.

Jelas Siti Norlizawati lagi, jika masih diberi peluang dan ruang membangunkan kawasan itu pada masa hadapan, beliau dan pasukannya sedia mengembleng seratus peratus usaha, selain menyediakan aktiviti pelancongan menarik kepada pengunjung.

Katanya, pengalaman dan ilmu yang diperoleh selama ini dalam bidang ekopelancongan serta agritourism dapat dimanfaatkan bagi kebaikan bersama, termasuk membantu memajukan industri pelancongan negeri.

"Sekarang kita buka Tasik Cermin 2 untuk bot, menerusi terowong 2. Tasik Cermin 2 ini jarang orang masuk, mungkin 1 peratus daripada rakyat Malaysia belum sampai ke situ.

"Bila kita buka sejak dua bulan lalu, Tasik Cermin 2 sudah mula meriah dan dipenuhi ramai orang. Bot akan dibuka tidak lama lagi dan hanya beroperasi tiga jam sehari (jam 2-5 petang).

"Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat keseluruhan Tasik Cermin 1.

"Platform atau jeti di situ akan dinaik taraf supaya tidak ditenggelami air ketika paras air tasik meningkat. Kita akan jadikan ia tinggi sedikit untuk keselesaan pengunjung," katanya lagi.

Foto ihsan Siti Norlizawati Narawi

Tasik Cermin Eco Park merupakan salah satu daripada 19 geotapak yang terletak di dalam Geopark Lembah Kinta.

Dengan adanya kerjasama awam dan swasta dalam membangunkan kawasan geotapak seperti ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri memelihara dan mempromosi Geopark Lembah Kinta sebagai salah satu Geopark Kebangsaan yang utama di Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan pelbagai pembangunan pelancongan berasaskan eko telah dirancang yang dibahagikan kepada beberapa fasa.

Pembangunan Tasik Cermin ini bakal membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Antara kemudahan yang akan disediakan di sini seperti surau; tandas awam, kawasan pejalan kaki dan orang kurang upaya (OKU), kios makanan dan minuman serta kemudahan kenderaan mesra alam.

Pembangunan yang dirancang pula meliputi floating platform Tasik Cermin 1 dan 2, galeri Tasik Cermin, mirror adventure park dan banyak lagi.

Manakala pakej ekopelancongan sedia ada di sini ialah limestone hiking, limestone cave explore dan boat ride tunnel 2.

Tiket masuk ke Tasik Cermin, dewasa (RM5), kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM3.50.