Langkah kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi peluang kepada usahawan kuih tradisional untuk menjana pendapatan.

Antara pengusaha yang turut mengambil kesempatan tersebut ialah Siti Nor Atiqah Nor Azizan, pengusaha kuih bahulu cermai di Kampung Nyior Cabang, Langkawi.

Rezeki benar-benar berpihak pada pengusaha berusia 26 tahun ini apabila terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkan tempahan yang meningkat hingga mencecah 10,000 biji kuih tradisional itu.

"Sebaik PKPB dilaksanakan dan boleh beroperasi, tak sangka pula tempahan yang diterima begitu banyak... hingga 2 pagi saya terpaksa siapkan tempahan yang diterima," katanya.

Berkongsi resipi kuih bahulu cermai itu, Siti Nor Atiqah memberitahu, bahan-bahan asas yang digunakan antaranya tepung gandum, telur dan gula.

Katanya, dia belajar dengan ibunya, Siti Khalijah Saad, 51, untuk membuat kuih tradisional yang mampu bertahan sehingga dua minggu itu.

"Setiap tahun, saya dan emak akan buka tempahan kuih bahulu kerana tahu kuih ini adalah juadah pilihan untuk dihidangkan semasa sambutan Aidilfitri.

"Saya menjual bahulu cermai ini pada harga RM16 untuk 47 biji dan setakat ini tempahan diterima dari penduduk sekitar Langkawi sahaja," katanya berkongsi rasa syukur dengan rezeki yang diperoleh di sebalik krisis COVID-19.