Menurutnya, daripada segi taktikal, oleh kerana operasi yang dijalankan adalah pada permukaan air dengan kedalaman sehingga paras dada, ia tidak memerlukan mereka mengenakan peralatan skuba.
"Saya baca di laman sosial, ada yang mempersoalkan mengapa kesemua mereka hanya diberi jaket keselamatan dan tali, dan bukan kelengkapan menyelam.
"Operasi yang dijalankan itu ialah operasi menyelamat di permukaan air (surface water rescue). Mereka melakukan penilaian daripada segenap aspek sebelum menjalankan operasi, dan apabila diyakini selamat, barulah mereka bergerak.
"Apabila salah seorang penyelamat itu tergelincir, dengan arus air yang sangat deras dan pusaran air, menyebabkan kesemua mereka berpusing dan bergelut dengan tali yang dipakai," kata Hamdan yang menegaskan bahawa operasi yang dijalankan adalah mengikut standard operation procedure (SOP) yang ditetapkan.
BACA: Bantuan pernafasan anggota bomba tertanggal ketika operasi
"Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) bukan pasukan responder biasa. Mereka merupakan unit pasukan khas. Nak masuk pasukan ini, pandai berenang sahaja tidak cukup.
"Mereka adalah pasukan penyelamat yang sudah ditauliahkan berasaskan latihan yang telah mereka hadiri. Latihan pula dijalankan di pusat latihan yang diiktiraf, iaitu Terengganu Safety Training Centre (TSTC).
"Apa yang terjadi adalah satu tragedi yang tidak diingini dan tidak ada kena mengena dengan kecekapan mereka," tambah beliau.
Hamdan ditemui selepas sesi lawatan rasmi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, di ibu pejabat JBPM Putrajaya, hari ini.
Turut diumumkan pada acara itu ialah pengibaran bendera JBPM separuh tiang di semua premis milik JPBM bermula 5 Oktober sehingga 7 Oktober, sebagai tanda berkabung atas kehilangan enam anggota bomba terbabit.
Dalam kejadian di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu malam, enam anggota PPDA iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi mengesan seorang remaja yang hilang di lombong tinggal itu.