KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengakui terlupa memakai pelitup muka semasa melawat pusat penjaja di Matu baru-baru ini.

Katanya, beliau menggunakan pelitup muka sebelum itu, tetapi menanggalnya ketika makan dan minum di gerai terbabit.

Tergesa-gesa untuk pulang kerana sudah lewat, beliau tidak sedar pelitup muka tidak digunakan.

“Pada masa itu saya dibawa melawat gerai gerai sudah akhir masa itu banyak program.

“Saya beli barang barang lepas itu saya minum dan makan di kafe itu nak minum nak makan terpaksa buka pelitup muka itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Pusaka di Kuching pada Khamis.

Menurutnya, pihak polis telah menghubunginya untuk memaklumkan beliau dikompaun atas kesalahan tidak menggunakan pelitup muka.

“Saya akui kesalahan saya.

“Saya dihubungi polis yang memaklumkan saya kena kompaun. Kalau dikompaun memang kena bayar kompaunlah,” jelasnya.

Terdahulu sebuah video tular di media sosial yang memperlihatkan Awang Tengah tidak menggunakan pelitup muka dan memberikan wang RM50 kepada penjaja.

Mengenai pemberian wang tersebut, Awang Tengah menjelaskan ia sebagai bayaran kepada barang yang dibeli di pusat penjaja berkenaan.