KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak cadangan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham mengenai lantikan pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Menyifatkan cadangan itu sebagai 'tidak berpijak di bumi nyata', Asyraf Wajdi menegaskan tiada keperluan untuk pakar bukan Islam dilantik dalam jawatankuasa khas bagi mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan itu.

Katanya, cadangan itu hanya bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

"Sejak Merdeka, Mahkamah Syariah adalah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam.

"Proses menambah baik dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilakukan sejak UMNO menerajui kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah, baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

"Ini juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Asyraf menyeru semua pihak untuk memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa itu kelak.

Jelasnya, Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan jawatankuasa ini.

"Apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak, pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan perlembagaan.

"Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan undang-undang mahupun perlembagaan, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun perlembagaan," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu jawatankuasa khas tersebut yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Ngeh dipetik berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.