KUALA LUMPUR: Tidak sampai empat jam pendaftaran dibuka, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan 268,000 pemohon  vaksin AstraZeneca sudah selesai didaftarkan. 

Menerusi ciapan di laman Twitter beliau, Khairy Jamaluddin turut memohon maaf kepada rakyat yang tidak sempat untuk mendaftar vaksin tersebut pada Ahad. 

"Semua slot untuk AZ (AstraZeneca) sudah ditempah. Saya minta maaf atas masalah teknikal yang berlaku pada awal pendaftaran dibuka. 

"Anda masih boleh klik kotak kelabu untuk mendaftarkan diri dalam senarai menunggu untuk beberapa jam akan datang.

"Kita akan mula mengatur temu janji melalui aplikasi MySejahtera anda atau mungkin menghantar mesej kepada anda," katanya dalam ciapan tersebut.

BACA: Pendaftaran AstraZeneca: Hanya 50,000 kekosongan yang tinggal - KJ

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas untuk program ini meliputi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL); Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC); Dewan 1, Bangunan Peperiksaan UM; dan Dewan Gemilang, UKM.

Individu yang layak, boleh memohon mana-mana tarikh janji temu antara 5 Mei hingga 5 Jun depan bagi WTCKL, manakala IDCC pula 24 Mei hingga 6 Jun.

Sementara pilihan tarikh janji temu untuk Dewan 1 Bangunan Peperiksaan UM dan Dewan Gemilang UKM ialah antara 5 Mei hingga 6 Jun depan.

Untuk rekod, Malaysia telah menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca pada minggu lalu.


Vaksin AstraZeneca | Permohonan bermula 12 tengahari esok