Lelaki yang ditemui rentung dalam satu kebakaran rumah di Jalan Menglembu Timur 21, Taman Menglembu malam tadi merupakan seorang orang kelainan upaya (OKU).

Mangsa, Chan Kwan Wah, 57 tahun, ditemui rentung di atas lantai berhampiran pintu belakang rumah yang disewanya itu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu, pihaknya dimaklumkan pemilik rumah berkenaan yang juga merupakan jiran mangsa.

"Mangsa disahkan mati oleh pasukan perubatan yang hadir dan (mayat) diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Kedua-dua pasukan forensik dari JBPM dan PDRM berada di lokasi kejadian bagi menyiasat punca kejadian," ujar beliau.

Anggota JBPM memeriksa tempat di mana mayat Chan Kwan Wah ditemui. - Foto JBPM Perak
Mohamad Yunus berkata, seramai 50 anggota dihantar ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, BBP Ipoh, ibu pejabat dan Zon 1 serta tiga Pasukan Bomba Sukarela dari Pekan Baru, Pasir Pinji dan Bercham.

Sementara itu, pemilik rumah, Leong Chee Ming, 64 tahun, berkata mangsa mempunyai masalah di bahagian kaki dan bergerak menggunakan tangan.

Katanya, mangsa menyewa di bahagian belakang rumahnya sejak 10 tahun lalu namun tinggal berseorangan selepas isteri dan anaknya meninggalkannya sejak lima tahun lalu.

"Ketika kejadian, saya bersama isteri dan dua anak sedang tidur sebelum menyedari api sedang marak daripada ruang belakang rumah.

"Saya panik dan terus mengejutkan isteri dan anak-anak untuk menyelamatkan diri sebelum menghubungi Bomba," katanya.

Chee Ming berkata, mangsa ialah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap serta gemar bersendirian.

"Mangsa bagaimanapun tidak pernah memberikan sebarang masalah kepada saya dan dia membayar sewa setiap bulan menggunakan bantuan daripada kerajaan," katanya.