'Tak tahu mengapa boleh buat begitu' - Wanita pandu kereta dalam LTSM dibebas

Nur Fazlizai Ali
Mac 12, 2020 16:25 MYT
Polis berkata pihaknya telah mengambil keterangan wanita yang berusia 55 tahun itu.
Wanita yang memandu kereta dalam bangunan tingkat satu, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Terengganu dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata pihaknya telah mengambil keterangan wanita yang berusia 55 tahun itu.
Katanya wanita itu juga diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Abdul Rahim soal siasat yang dijalankan mendapati wanita itu memaklumkan tidak tahu mengapa dia boleh bertindak sedemikian.
Katanya, pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kes berkenaan kepada pihak timbalan pendakwa raya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 kanun keseksaan kerana menceroboh.
Rabu lalu, suasana di LTSM bertukar panik seketika selepas seorang wanita dengan selamba memandu ke dalam kawasan bangunan tingkat satu lapangan terbang berkenaan.
BACA: Wanita 'stres' pandu masuk kereta ke dalam lapangan terbang
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Rabu, kakitangan LTSM dan orang awam yang berada dalam kawasan terkejut dengan kehadiran kereta yang bergerak di dalam bangunan itu.
Wanita tersebut dikatakan mengalami stres dan memandu sehingga masuk ke kawasan bangunan LTSM.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
#Hospital #Hospital Sultanah Nur Zahirah #Kuala Terengganu #Lapangan Terbang Sultan Mahmud #LTSM #pandu kereta dalam lapangan terbang #Polis Daerah Kuala Terengganu #wanita stres