BARU-BARU ini tular di media sosial mengenai taklik tambahan yang dibuat untuk menjaga hak isteri supaya lebih jelas apa yang dibenarkan dan yang tidak dalam perkahwinan.

Antara contoh taklik tambahan adalah isteri diberikan keizinan untuk keluar ke mana sahaja untuk bekerja atau bagi tujuan pembelajaran selagi tidak bertentangan dengan syarak.

Lalu, masyarakat tertanya-tanya bolehkah sebenarnya diwujudkan taklik tambahan seumpama itu?



PENJELASAN:

Sebelum berbicara mengenai taklik tambahan, wajar untuk kita fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan taklik.

Taklik bermaksud lafaz perjanjian talaq taklik oleh suami sejurus selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Perjanjian taklik ini membenarkan suami menyandarkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat yang akan berlaku pada masa hadapan.

Walaupun amalan taklik tambahan ini tidak diwajibkan di dalam Islam, ia masih boleh diamalkan sekiranya dipersetujui oleh pasangan suami isteri.

Di Malaysia, perjanjian taklik secara rasmi mempunyai peruntukan khusus di dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang berkenaan.

Lazimnya lafaz perjanjian taklik ini akan tertera di Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

Taklik rasmi ini biasanya melindungi isteri dalam perkahwinan melibatkan tiga isu utama sahaja iaitu pengabaian nafkah isteri, isteri ditinggalkan suami, dan sebarang kemudaratan yang dilakukan oleh suami terhadap isteri.

Sebarang pelanggaran perjanjian taklik oleh suami memberikan hak kepada isteri membuat aduan dan menuntut perceraian dan hak-hak berkaitan di Mahkamah Syariah.

Keterbatasan taklik ini menyebabkan ada pasangan sama ada pihak suami atau isteri ingin menambah lafaz taklik yang dirasakan perlu untuk menjaga hak kedua-dua pihak.

Namun, timbul persoalan, adakah pasangan suami isteri boleh mengolah dan memperakukan lafaz perjanjian taklik tambahan mereka sendiri?

Pembentukan taklik tambahan selain daripada amalan taklik rasmi yang sedia ada walaupun tidak diketahui secara meluas oleh masyarakat Malaysia sebenarnya telahpun lama wujud terutamanya melibatkan taklik berbentuk lisan.

Taklik tambahan secara amnya merupakan taklik lisan yang dipersetujui bersama berdasarkan pandangan, kehendak atau permintaan pasangan suami isteri dan persetujuan tersebut direkodkan sebagai bukti kewujudannya.

Contohnya, jika kau keluar dari pintu rumah ini untuk bekerja, maka jatuh talak satu. Ini adalah taklik tambahan secara lisan.

Taklik tambahan masih boleh dikuatkuasakan oleh syarak sekiranya memenuhi kesemua syarat sah taklik dan didaftarkan di hadapan pihak yang bertanggungjawab seperti Pegawai Tadbir Agama Daerah.

Pembentukan taklik tambahan dikatakan mampu memberikan perlindungan tambahan kepada pasangan suami isteri melibatkan perkara-perkara selain daripada tiga isu yang telah termaktub di dalam taklik rasmi.

Suami dan isteri boleh memasukkan sebarang tuntutan yang boleh memberikan kebaikan dalam menjaga kepentingan dan hak mereka pada masa hadapan.

Perbincangan pembentukan taklik tambahan juga menuntut persefahaman yang jelas antara pasangan dan mengajar erti tolak ansur dalam perkahwinan.

Seperti contoh taklik tambahan yang dinyatakan di atas, ia boleh sahaja menjadi perjanjian taklik yang melindungi kedua-dua pihak.

Dalam erti kata lain, taklik tambahan tersebut bukan sahaja membenarkan isteri untuk keluar bekerja dengan syarat tiada berlakunya sebarang perkara yang bertentangan dengan syarak, ia juga boleh menetapkan jika isteri didapati melakukan maksiat dengan rakan sekerja yang jelas bertentangan dengan syarak maka jatuhlah talak satu terhadap isteri tersebut.

Ia menjaga hak suami jika isterinya melakukan maksiat semasa keluar bekerja. Ia juga menjaga hak isteri untuk keluar bekerja tanpa halangan daripada suami.

Contoh taklik tambahan begini kebiasaannya dilafazkan di peringkat awal perkahwinan.

Adakalanya ia adalah jalan terakhir bagi menyelamatkan perkahwinan apabila suami atau isteri gagal menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga kerana terlibat dengan masalah gejala sosial, gagal memberi nafkah atau melakukan keganasan terhadap anak-anak.

Dalam keadaan sebegini, perjanjian taklik tambahan dibentuk sebagai peringatan, amaran dan didikan kepada pasangan.

Bagaimanapun, taklik tambahan tidak boleh diolah sewenang-wenangnya tanpa panduan yang jelas.

Ia perlu diteliti bagi melihat sama ada taklik tambahan dibentuk untuk kepentingan bersama atau sebaliknya dan memenuhi syarat sah yang ditetapkan oleh syarak.

Oleh kerana tiadanya undang-undang khusus yang mengawal selia pembentukannya di Malaysia, pasangan perlu mengambil inisiatif sendiri untuk merujuk pihak yang lebih pakar kerana adanya implikasi melibatkan talak sekiranya berlakunya sebarang perlanggaran taklik.

Selain itu, setiap kes pelanggaran perjanjian juga perlu dirujuk kepada pihak agama dan mahkamah kerana perkara itu melibatkan hukum perceraian.

Hikmah pensyariatan taklik adalah jelas bertujuan menjaga kepentingan dan hak pasangan dalam perkahwinan.

Secara umumnya taklik rasmi kemungkinan besar adalah memadai dalam memenuhi tujuan ini.

Namun, ada ketikanya keperluan kepada taklik tambahan ini timbul, baik di awal perkahwinan mahupun setelah sekian lama pasangan berada di alam perkahwinan kerana kesukaran dalam proses pembuktian apabila berlakunya pelanggaran perjanjian taklik rasmi.

Taklik tambahan memberi ruang dan peluang kepada pasangan suami isteri untuk membuat perincian perjanjian yang lebih jelas.

Namun, kedua-dua pihak perlu benar-benar memahami tujuan pembentukan taklik tambahan ini.

Taklik tambahan ini perlu adil dan melindungi hak kedua pihak dalam memelihara rumah tangga mereka.



** Penerangan ini dikendalikan oleh Dr Nor Fadzlina Nawi (Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang,Universiti Teknologi Mara) dan Dr Norsuhaida binti Che Musa(Pensyarah Kanan, Penyelaras Klinik Guaman, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia).