KPKT bangunkan sistem pantau pemberi pinjaman wang, elak caj melampau

Aiman Athirah berkata, sistem tersebut bertujuan memperkukuh pengawalseliaan terhadap pemberi pinjaman wang bagi memastikan tiada caj tambahan dikenakan kepada orang awam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memuktamadkan cadangan projek rintis bagi membangunkan satu sistem pangkalan data peminjam dan pemberi pinjaman wang yang merekodkan transaksi secara masa nyata.
Ringkasan AI
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan sistem pangkalan data peminjam dan pemberi pinjaman wang untuk memperkukuh pengawalseliaan terhadap pemberi pinjaman wang.
- Sistem ini akan menyediakan kemudahan pemantauan dan pembayaran dalam talian serta turut dilengkapi dengan skim perlindungan insurans pinjaman.
- Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 menetapkan kadar faedah maksimum bagi pinjaman bercagar dan tanpa cagaran, dan pemberi pinjaman wang berlesen yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda atau penjara.
Menurut Aiman Athirah, sistem berkenaan turut dirancang untuk dilengkapi dengan skim perlindungan insurans pinjaman bagi memberi perlindungan kepada peminjam yang layak.
Pada masa sama, beliau menegaskan, bagi mengelak caj melampau oleh pemberi pinjaman wang berlesen, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) menetapkan kadar faedah maksimum 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran.
“Syarikat yang mengenakan kadar faedah melebihi had dibenarkan atau mengenakan faedah melebihi jumlah pokok pinjaman boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Di bawah Subseksyen 17A Akta 400, pemberi pinjaman wang berlesen yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Seksyen 23 Akta 400 menetapkan larangan terhadap sebarang bayaran tunai bagi perbelanjaan berkaitan pinjaman oleh pemegang lesen kepada peminjam, kecuali bagi duti setem dan yuran pengakuan seksyen seperti yang dinyatakan dalam format perjanjian ditetapkan di bawah akta berkenaan.
Pemberi pinjaman wang berlesen juga dilarang menggunakan kaedah tuntutan bayaran semula yang menindas atau mengandungi unsur kekerasan, selaras dengan Seksyen 29B Akta 400.
Bagi kesalahan di bawah seksyen tersebut, pemberi pinjaman wang boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


