Taktik beli emas guna wang palsu RM30,000 terbongkar

Tangkap layar video tular memaparkan kekecohan di hadapan sebuah kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada Khamis. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Tindakan licik seorang lelaki yang cuba membeli barangan kemas menggunakan wang palsu bernilai kira-kira RM30,000 terbongkar selepas disedari seorang jurujual di sebuah kedai emas di Chabang Tiga di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan berhubung kejadian diterima jam 6.31 petang dan disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.10 petang apabila seorang lelaki berusia awal 30-an datang bersendirian ke sebuah kedai emas dengan memakai kopiah putih, cermin mata hitam serta pelitup muka berwarna merah jambu.
"Suspek berurusan untuk membeli beberapa barangan kemas dengan anggaran nilai RM30,000 dan sempat mengambil gambar barang kemas berkenaan kononnya untuk ditunjukkan kepada isterinya.
"Selepas beberapa kali keluar masuk premis, suspek menyatakan hasrat untuk meneruskan pembelian," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Azli berkata, ketika proses penyediaan resit pembelian, jurujual meminta suspek menyerahkan wang untuk tujuan pengiraan sebelum mendapati wang yang diikat dalam bentuk bungkusan di dalam plastik kuning mencurigakan kerana bahagian tepinya berwarna putih.
Menurutnya, jurujual cuba memeriksa wang tersebut namun berlaku tarik-menarik antara kedua-dua pihak sebelum suspek bertindak agresif dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia berwarna biru gelap yang diletakkan di hadapan kedai.
"Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan adalah palsu.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis terlibat serta kedai berhampiran sedang diperoleh bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiada kerugian direkodkan dan laporan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam pada itu, Azli menasihatkan peniaga emas supaya sentiasa berwaspada, memeriksa wang tunai diterima dengan teliti serta tidak teragak-agak menghubungi pihak polis sekiranya mengesyaki sebarang transaksi mencurigakan.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan peniaga menjadi mangsa sindiket wang palsu yang semakin berani menggunakan pelbagai taktik," katanya.
Pada Khamis tular video dipercayai daripada rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Axia di hadapan kedai emas di Chabang Tiga di sini.
Video berkenaan turut memaparkan wang palsu yang didakwa digunakan suspek ketika pembelian emas bertaburan ketika kekecohan berlaku di hadapan kedai tersebut. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


