TUMPAT:Kumpulan penyeludup mengubah taktik mereka bagi membawa keluar barangan larangan melalui sempadan negara seterusnya ke negara jiran, dengan mengupah pemandu lori pasir.

Ia terbongkar susulan serbuan yang dilakukan oleh pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP Kelantan bersama pasukan Gerakan Am, PGA dari Batalion 8 semalam yang berjaya menjumpai 1,360 kilogram minyak masak bersubsidi.

Minyak masak berkenaan dijumpai di dalam lori berkenaan yang diletakkan di sebuah premis di Pengkalan Kubor.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri semasa serbuan dijalankan terdapat seorang pemandu lori warga tempatan berusia 40 tahun cuba melarikan diri namun berjaya di tahan.

"Hasil siasatan awal lelaki tersebut dipercayai mengambil upah sekitar RM100 bagi setiap penghantaran, dan bekalan minyak masak  diambil daripada pemborong di Pasir Mas, yang kemudiannya dihantar ke lokasi yang diarahkan oleh individu lain melalui telefon," katanya dalam satu kenyataan.

"Modus operandi bagi penyeludupan kali ini, penyeludup barang kawalan bersubsidi membayar upah kepada pemandu lori pasir bagi mengaburi pihak berkuasa untuk mengangkut dan memunggah dari pembekal atau pemborong tempatan seterusnya membawa ke pengkalan haram," katanya.

Minyak masak berkenaan dijumpai di dalam lori berkenaan yang diletakkan di sebuah premis di Pengkalan Kubor. - Foto Astro AWANI

Azanizam berkata pemeriksaan juga mendapati pemilik lori berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen yang di keluarkan oleh Pengawal Bekalan dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua barangan dan lori seberat 3 tan itu disita untuk tindakan lanjut.