Sedarkah anda bahawa takungan air yang disebabkan penggunaan alat penapis air yang berada di kediaman juga mampu menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes?

Ia sekaligus memberi risiko kepada orang ramai, memandangkan penggunaan alat penapis air itu kini semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ahli Majlis Zon Jenderam, Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Syahrul Amri Mat Sari, kurangnya kesedaran masyarakat berhubung perkara itu telah mengundang kepada berlakunya pembiakan nyamuk Aedes.

Jelasnya, kitaran hidup nyamuk Aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa hanya mengambil masa kurang tujuh hari, sekaligus menyebabkan populasi nyamuk semakin meningkat.

"Denggi boleh terjadi kerana adanya takungan-takungan air bersih, contohnya dalam baldi atau kita siram air dan kita biarkan air itu selama seminggu, atau takungan air di bawah pelapik alat penapis air di rumah.

"Nyamuk aedes itu, daripada telur dah boleh jadi nyamuk dewasa dalama masa tujuh hari sahaja. Sebab itu kita kena elakkan takungan air bersih," katanya ketika menghadiri program Gotong-royong Perdana Basmi Denggi Majlis Perbandaran Sepang dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Taman Desa Vista, Sepang hari ini.

Terdahulu, aktiviti membersihkan kawasan perumahan berkenaan telah dijalankan dengan tumpuan di kawasan air bertakung dan longkang yang kotor.

Setakat 31 Mac lalu, tujuh kes denggi dicatatkan di kawasan berkenaan.

Statistik terbaharu yang dikeluarkan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan pada April menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi, iaitu sebanyak 22,343 kes dilaporkan.

Mohd Syahrul berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan hotspot denggi di sekitar daerah Sepang.

Tambahnya, selain kawasan perumahan, fokus kini juga di tapak-tapak pembinaan.

Di peringkat kementerian pula, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Pelaksanaan Projek KPKT, Hisham Azlin Zainun berkata pelbagai rancangan telah dirangka bagi membantu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai denggi.

Bagaimanapun, katanya usaha itu tidak akan tercapai tanpa usaha sama daripada pelbagai pihak.

“Bagi tujuan membanteras denggi, kita perlu menggembleng usaha yang menyeluruh. Dia (usaha) tidak boleh tertumpu atau terhad kepada tindakan yang perlu diambil oleh kementerian sahaja kerana kebanyakan kes denggi berlaku di kawasan perumahan dan juga indutsri.

"Tetapi kalau kita tidak melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang mengawal selia dari segi susun atur dan perjalanan pengurusan perumahan, maka kita percaya ia tidak akan mampu mencapai hasrat tersebut," ujarnya.