MELAKA: Sebuah taman safari berkonsep terbuka yang terbesar di Malaysia dengan kapasiti anggaran seluas 20.2 hektar akan diwujudkan di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata setakat ini, pihaknya sudah menerima beberapa kertas cadangan daripada pihak yang berminat.

"Perancangan sebenar mengenai taman safari di Melaka ini kita akan pastikan kalau boleh sehebat atau setanding taman safari di negara luar seperti Thailand atau Indonesia.

"Jadi, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Zoo Melaka akan bekerjasama dengan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia) serta pihak swasta yang berminat untuk memastikan projek taman safari ini dijayakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023 peringkat negeri Melaka di Zoo Melaka di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Rais berkata projek itu dirancang dibangunkan sama ada di Taman Botanikal Ayer Keroh atau di dalam Zoo Melaka sendiri dengan jumlah kos akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata pihak MPHTJ telah pun menunjukkan pelan perancangan awal taman safari itu kepadanya dan satu kajian akan dilakukan bagi memilih kertas cadangan dan modul terbaik untuk menjayakan projek berkenaan.

"Macam di dalam Zoo Melaka, masih ada kawasan seluas hampir 12 hektar yang boleh dibangunkan sebagai taman safari ini. Jadi kita akan pilih modul yang terbaik kerana kita mahu memastikan projek ini bertahan lama sepertimana bertahannya Zoo Melaka yang kekal menarik pengunjung.

"Ini kerana jika setakat Julai lepas Zoo Melaka mampu menarik hampir 700,000 pengunjung, cuba bayangkan jika ada produk baharu untuk menggamit pengunjung ke sini," katanya.

Rais berkata memandangkan projek itu masih dalam fasa pemilihan kertas cadangan, pihaknya akan cuba memastikan sekurang-kurangnya pembangunan taman safari itu bermula pada tahun hadapan.

"Kita akan lakukan kajian tapi tidak mahu terlalu lama dan kita anggarkan sekurang-kurangnya majlis pecah tanah akan dirasmikan oleh Ketua Menteri pada tahun hadapan.

"Saya juga akan letakkan projek ini dalam indeks prestasi utama (KPI) MPHTJ untuk tahun hadapan. Daripada pihak kerajaan negeri pula, saya akan bawa cadangan ini kepada Ketua Menteri setelah kajian dibuat untuk beliau berikan satu pengendorsan supaya kita boleh jadikan projek ini satu kenyataan," katanya.

--BERNAMA