Kepada penduduk yang tinggal di sekitar pusat bandar Shah Alam, hanya satu 'jenama' yang sinonim dengan kawasan Taman Sri Muda yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N.50 Sri Muda.

Kawasan itu sering dilabel sebagai kawasan hitam kerana isu sosial dan lubuk samseng yang disifatkan penduduk setempat sebagai kian membimbangkan.

Walaupun hanya kurang 15 minit perjalanan dari pusat bandar Shah Alam, jika hendak dibuat perbandingan, suasana nyata berbeza di Taman Sri Muda.




Penduduk yang ditemui membangkitkan pelbagai isu daripada aspek masalah sosial hinggalah kepada isu pengurusan sampah.

Seorang wanita sekitar lewat 20-an usianya, Noorazlinda Abdullah mengakui rasa tidak selamat berjalan seorang diri terutama pada waktu malam.

"Dulu saya rasa 'safe' sikit. Sekarang saya makin risau, balik malam-malam rasa macam ada orang ikut. Baru-baru ini, ada kes samun dekat dengan rumah saya," kata Noorazlinda.

Menurut Muhamad Nazreen Roslen pula, kedai-kedai judi yang beroperasi secara haram pula didakwa kian menjadi-jadi di kawasan berkenaan.

"Mesin-mesin kuda banyak dah di deret kedai itu. Saya risaukan anak-anak saya. Takut mereka terjebak. Dulu saya lapor kepada PBT tapi entahlah. Macam itulah juga," ujar beliau.

Kebanjiran pendatang asing yang semakin ramai memilih Sri Muda sebagai kawasan penempatan juga menimbulkan rasa gusar dalam kalangan penduduk setempat.

Bagi golongan suri rumah pula, naik taraf infrastruktur pasar pastinya menjadi kehendak utama mereka.

"Saya terpaksa keluar dari Sri Muda kalau nak ke pasar. Pasar sekarang ni kotor, tidak selesa dan saya harap semua pihak mementingkan budaya menyelenggara setiap apa yang kita ada," kata Bariah Abdul Rahman.

Beliau juga mendesak penyelesaian konkrit kepada masalah perparitan dan banjir selain pengurusan sampah yang lemah.

Golongan menengah berpendapatan sederhana dan ke bawah membentuk hampir dua pertiga penduduk di N50 Sri Muda ini. Segmen pengundi di kawasan ini lebih cenderung mendengar kempen yang menyentuh isu setempat berbanding isu-isu politik peringkat nasional.

Pengundi muda yang ditemui, Zul Kamal Mat Sari pula menggariskan kriteria Adun yang bakal dipilihnya, antaranya, calon menampilkan gaya kepemimpinan yang berjiwa aktivis.

"Saya lebih suka seorang calon yang orang kata kita tak perlu protokol. Di mana pun kita panggil, dia mampu hadir dan mendengar suara kami anak-anak muda yang suka gaya yang santai," jelas beliau.

Tuntutan serta kehendak pengundi tidak lagi sama seperti 2008. Mereka mahukan perubahan.

Perubahan itu melibatkan penjenamaan semula kawasan ini yang pastinya menjadi cabaran yang bukan sahaja besar, malahan berat kepada bakal wakil rakyat yang menang kerusi itu nanti.

N50 Sri Muda terletak di bawah kerusi Parlimen P111 Kota Raja. Ia mempunyai 49,146 pengundi berdaftar dan menyaksikan saingan tiga penjuru untuk medan tempur politik PRU-13 pada 5 Mei nanti.

Dalam pilihan raya 2008, calon Parti Keadilan Rakyat Mat Shuhaimi Shafiei menang mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Amzah Omar dengan majoriti 5,974 undi.

Dalam pilihan raya kali ini, Shuhaimie dicabar calon BN, Mohd Abd Raof Mokhtar dan seorang calon bebas, Datuk D. Ramaswee.