SHAH ALAM: Cadangan untuk menambah keanggotaan ahli Dewan Negara tidak sepatutnya mengikut 'gender' sebaliknya, ia perlu dibuat berdasarkan kelayakan mana-mana individu tidak kira lelaki atau wanita.

Penganalisis politik, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, negara tidak boleh mengambil kira isu berhubung kesamarataan sebagai satu garis petunjuk prestasi pembangunan negara.

Menurutnya, jumlah penglibatan lelaki atau wanita tidak patut dikaji dan dijadikan sebagai perkara besar kerana ia perlu berlaku secara semula jadi.

“Sepatutnya hal berkaitan pentadbiran negara perlu dilaksana berdasarkan kepada elemen kredibiliti, kemampuan dan perkara-perkara berkepentingan negara khususnya isu berkaitan keselamatan negara, pembangunan sosioekonomi dan sebagainya.

“Sekiranya ada calon-calon yang layak khususnya dalam kalangan wanita, maka tidak salah untuk mempertimbangkan hal itu namun tidak untuk dijadikan sebagai satu perbahasan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang untuk menambah bilangan keanggotaan Ahli Dewan Negara dalam kalangan wanita berikutan jumlah penglibatan golongan itu dalam politik rendah.

Hal itu kerana, peratusan golongan berkenaan dalam Dewan Rakyat telah menurun daripada 14.9 peratus pada 2021 kepada 13.5 peratus pada 2022.

Mengulas lanjut tentang cadangan itu, Noor Nirwandy berkata, tindakan kerajaan secara tidak langsung mewujudkan polemik atau pandangan seolah-olah wanita masih jauh ketinggalan dalam pentadbiran negara.

Jelas beliau, perkara melibatkan hal kepentingan negara perlu ada satu jawatan atau kepimpinan baik yang tidak mengambil kira isu gender.

“Kita mesti menghentikan perbahasan kesamarataan jantina ini kerana jelas negara tidak pernah membelakangkan isu berkenaan termasuklah kaum dan agama,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan sekiranya jumlah penglibatan di antara lelaki dan wanita itu diukur, ia akan mengundang percakapan dan pertandingan yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat.

Tambahnya, sebagai sebuah negara yang tidak pernah membelakangkan mana-mana golongan, negara perlu mengutamakan sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk menaik taraf sistem pentadbiran. - Sinar Harian