MALAYSIA
Tambah baik kurikulum, latihan untuk galak PALAPES sertai ATM - Khaled

Mohamed Khaled (tengah) hadir pada Majlis Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di UPM Serdang hari ini. - Gambar/ Bernama
SERDANG: Kementerian Pertahanan akan menambah baik kurikulum dan pengisian latihan bagi menggalakkan penyertaan mahasiswa Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan akan menambah baik kurikulum dan latihan PALAPES bagi menggalakkan lebih ramai mahasiswa menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai anggota simpanan selepas tamat pengajian, selaras dengan sasaran nisbah 1:1 antara tentera tetap dan simpanan.
- Hanya sembilan peratus pelatih PALAPES menyertai ATM setiap tahun selepas tamat pengajian, manakala 30 peratus lagi berbuat demikian selepas mendapat pekerjaan; kementerian akan mengkaji faktor penghalang kesinambungan penyertaan.
- Sekiranya cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 1.5 peratus daripada KDNK diluluskan, kementerian akan menggunakan peruntukan secara berhemat dengan tumpuan kepada pengukuhan aset dan penubuhan angkatan masa hadapan ATM.
"Kita juga akan kaji faktor yang menghalang mereka daripada terus aktif setelah meninggalkan universiti," katanya pada sidang media selepas menyampaian Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Turut hadir Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
PALAPES ialah program latihan ketenteraan di universiti awam yang melibatkan tiga cabang ATM - Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara - dengan tujuan melahirkan pegawai simpanan muda berdisiplin, berwawasan dan bersemangat patriotik.
Mohamed Khaled berkata langkah memperkukuh penyertaan PALAPES juga penting untuk mencapai sasaran kementerian mewujudkan nisbah seorang tentera tetap kepada seorang tentera simpanan berbanding jumlah semasa 121,000 tentera tetap dan 34,000 tentera simpanan.
Sementara itu, Mohd Nizam memaklumkan kira-kira sembilan peratus pelatih PALAPES menyertai ATM selepas menamatkan pengajian setiap tahun manakala 30 peratus lagi berbuat demikian selepas mendapat pekerjaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan menggunakan peruntukan secara berhemat sekiranya cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 diluluskan kerajaan.
"Tumpuan utama ialah memperkukuh aset ketenteraan dan menjayakan penubuhan angkatan masa hadapan ATM.
"Apa-apa pun perlu ikut peraturan, bukan bermakna bila dapat peruntukan boleh terus beli apa sahaja. Kita tunggu kelulusan kerajaan dan rolling plan pertama tahun depan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami