Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan terdapat perubahan waktu solat Subuh bagi seluruh kawasan di negeri ini mulai esok dengan tambahan lapan minit daripada waktu asal semasa.

JAIS dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, perubahan waktu solat subuh itu dibuat hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) berdasarkan kepada kecerahan langit pada tempoh masa berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, perubahan waktu solat subuh itu juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MZI) kali ke-116.

“Perubahan waktu solat subuh itu telah diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini untuk dikuatkuasakan di negeri ini,” kata kenyataan itu.

Mengikut laman web JAIS, waktu solat subuh hari ini bagi kawasan Gombak, Petaling, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Rawang dan Shah Alam adalah pada 5.43 pagi; Kuala Selangor dan Sabak Bernam (5.46 pagi); manakala Klang dan Kuala Langat (5.43 pagi).