KUALA LUMPUR: Tambakan laut di kawasan pesisir pantai negeri Melaka adalah antara yang didakwa menjadi punya banjir kilat sering berlaku di negeri itu.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, jika dilihat faktor tersebut adalah antara punca yang tidak boleh dinafikan kerana sesetengah kawasan di bahagian tengah dan juga luar bandar di negeri tersebut sering dilanda banjir.

“Di kala kita (Pakatan Harapan), mentadbir dulu memang ada cadangan supaya kawasan tambakan itu mempunyai satu saliran utama bagi memastikan aliran air daripada Sungai Melaka, sungai-sungai di Malim, di Duyong dan sebagainya boleh mengalir dengan cepat.

“Saya ambil satu contoh sahaja macam Sungai Melaka ni dia ada baraj. Baraj ni di kala saya masuk dalam kerajaan ia sudah rosak lama dan tak berfungsi. Jadi boleh bayangkan kalau air Sungai Melaka ini kalau datang dari hulu macam mana ia hendak mengalir ke laut?” jelasnya ketika ditemubual secara eksklusif dalam program Agenda AWANI.

Tambah beliau kelulusan untuk menaik taraf baraj telah diberi pada 2019 sebanyak RM10 juta oleh Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng dan sepatutnya telah diperbaiki.

Namun, katanya projek berkenaan tidak diteruskan selepas kerajaan pimpinanya ditumbangkan.

Solusi kepada isu tersebut katanya kerajaan perlu melihat semula projek-projek membabitkan tebatan banjir.

“Masa saya mentadbir dahulu banyak projek tebatan  banjir samada di Merlimau, di Duyong, di Alor Gajah dan sebagainya tapi ia tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Ini harus kita nilai balik dan kita harus laksanakan projek-projek tebatan banjir ini bagi memastikan kawasan-kawasan yang ditenggelami air tidak berterusan,” katanya lagi.

Selain itu, jelasnya kawasan tambakan yang ada perlu dipastikan saliran sungai mampu berfungsi dengan baik.

Tambah beliau, sebahagian kawasan di Melaka juga memerlukan beberapa fasiliti berkaitan seperti rumah pam dan kawasan takungan  yang lebih baik yang perlu diwujudkan.

BACA: JBPM pertimbang kenaikan pangkat anggota lemas ketika bertugas

Pada 20 Oktober lalu, seorang anggota bomba Mohd Diya maut selepas lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung Sungai Putat, Melaka keluar dari kediaman masing-masing.