LABUAN: Tambang feri roll-on roll-off (ro-ro) untuk kenderaan persendirian bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan meningkat 42.5 peratus bermula 1 Nov ini, setelah 15 tahun kadar itu tidak disemak.

Pengerusi Labuan-Mainland Link Sdn Bhd Datuk Chin Hong Vui, yang mengendalikan feri ro-ro berkenaan berkata semakan tambang itu yang tidak termasuk kenderaan komersial (mengangkut barang), dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos operasi, bagaimanapun tambang untuk penumpang sebanyak RM2.50 (selepas subsidi) tidak berubah.

Tambang baharu untuk perjalanan Labuan-Menumbok-Labuan bagi kenderaan persendirian (jenis sedan) ialah RM57 sehala berbanding RM40, kenderaan jenis pelbagai guna (MPV)/utiliti sukan (SUV), pacuan empat roda (4WD), van persendirian meningkat kepada RM67 daripada RM50.

Harga tambang baharu bagi motosikal bawah 250cc ialah RM26 manakala motosikal 250cc dan lebih pada kadar RM41, masing-masing peningkatan sebanyak RM11.

"Syarikat kami cuba yang terbaik untuk mengekalkan tambang sedia ada walaupun nilai pelaburan tinggi ditambah dengan kadar tambang yang tidak berubah sejak 15 tahun lepas.

"Malangnya, terdapat banyak faktor tidak dijangka yang menjejaskan negara dan dunia, yang menyumbang kepada peningkatan kos operasi...dan perkara ini mendorong syarikat menyemak kadar tambang bagi memastikan syarikat terus beroperasi," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Labuan-Mainland Link ialah pengendali feri ro-ro yang menyediakan perkhidmatan laluan Labuan-Menumbok, Sabah dengan tiga feri iaitu MV Goodwill Star, MV Putrajaya and MV Kimanis 1. Sebagai tambahan kepada laluan domestik, feri MV Joy Star menyediakan perkhidmatan bagi laluan antarabangsa antara Labuan dengan Muara, Brunei.

Chin berkata Labuan-Mainland Link telah melabur berpuluh juta ringgit untuk mendapatkan empat feri berkenaan dengan menyediakan perkhidmatan yang selamat, selesa, menjimatkan masa dan cekap kepada penumpang, dan semakan itu dibuat dengan teliti selama lebih enam bulan.

"Kami memutuskan untuk menyemak tambang feri ro-ro hanya untuk kenderaan persendirian yang pada hemat kami masih mampu berkongsi peningkatan dalam kos operasi kami...kami tidak meningkatkan tambang kepada kenderaan komersial seperti lori dan treler kerana tindakan ini akan menyebabkan kenaikan harga barang pengguna di Labuan," katanya.

Beliau berkata faktor seperti pandemik COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada dua tahun lepas, menyebabkan operator feri ro-ro perlu meneruskan operasi walaupun mengalami kerugian bagi memastikan barangan untuk pengguna di Labuan tidak terputus.

"Kami tetap beroperasi walaupun tanpa muatan, tanpa kenderaan persendirian dan penumpang berikutan arahan ini. Peningkatan gaji minimum pekerja sebanyak RM300 daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan turut menyumbang kepada peningkatan akaun sebanyak 25 peratus dalam kos operasi syarikat," katanya.

-- BERNAMA