MELAKA TENGAH: Keputusan menggantung atau menamatkan perkhidmatan jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita) yang bertindak menampar pemainnya baru-baru ini, akan diputuskan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) selepas siasatan persatuan itu bersama Kementerian Pendidikan (KPM) selesai dilakukan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, meskipun permohonan maaf dan persefahaman antara jurulatih dan ibu bapa sudah diselesaikan, isu berkenaan memerlukan penelitian yang rapi kerana mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Kedudukan jurulatih ini terbagi kepada tiga, pertamanya ialah siasatan pihak kerajaan negeri kerana penularan ni, keduanya beliau berkhidmat dengan KPM maka Unit Integriti mereka akan membuat siasatan lanjut.

“Selain itu, MAVA juga akan mengambil alih kes ini memandangkan kes ini turut melibatkan peringkat kebangsaan dan bermakna apa-apa tindakan diambil terhadap beliau hanya akan diputuskan oleh KPM kerana beliau seorang guru dan juga MAVA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava), Hean Boon Yeow dan Pengarah MSN negeri, Asri Ninggal.

Perjumpaan yang berlangsung di pejabat MSN negeri di Krubong itu turut melibatkan jurulatih yang berusia 44 tahun serta ibu dan bapa kedua-dua pelajar yang terlibat.

Mengulas lanjut ujar Shanmugam, beliau memohon semua pihak untuk tidak lagi memperbesarkan isu berkenaan kerana ianya bukan hanya menjejaskan emosi jurulatih yang terlibat, sebaliknya turut memberi gangguan emosi kedua-dua pelajar perempuan berkenaan.

“Ibu bapa pada peringkat awal lagi telah pun memafkan jurulatih ini, tetapi oleh kerana video berkenaan menjadi tular mereka mengakui perasaan mereka tersinggung dan mohon semua pihak untuk menghentikan penularan tersebut.

Selain itu katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) negeri juga turut memberi tiga syor termasuk permohonan maaf secara terbuka bagi emmastikan isu berkenaan tidak terus menjadi ‘mainan’ masyarakat.

“Di peringkat Melaka dah selesai, selepas ini terpulang kepada KPM dan MAVA untuk ambil tindakan dan kita turut memberikan tiga syor kepada pihak berkenaan berhubung kes ini.

“Antaranya jurulatih ini perlu meminta maaf kepada umum dan ibu bapa serta kedua mungkin sijil latihan beliau perlu ditahan untuk tempoh setahun atau dua tahun,” tambahnya.

Terdahulu, tular kejadian yang memaparkan Jurulatih tersebut bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.

Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan.