Skip to main content

Malaysia

Tan Cheng Hock lambang keharmonian Kampung Warna-Warni

KANGAR, 17 Feb -- Peniaga kedai runcit, Tan Cheng Hock, 74, dan isteri Low Lan Yin, 74, adalah satu-satunya penduduk berketurunan Cina yang masih tinggal di Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis yang majoriti penduduknya adalah Melayu dan akan menyambut sambutan Tahun Baharu Cina di kampung berkenaan.BERNAMA
Tan Cheng Hock, 74, dan isterinya Low Lan Yin, 74, menjadi simbol keharmonian di Kampung Warna-Warni, Kuala Perlis. - Gambar/ Bernama

KANGAR: Menjadi satu-satunya keluarga berbangsa Cina menetap di Kampung Warna-Warni, Kuala Perlis, maka tidak hairan pasangan itu sering menjadi tumpuan terutama ketika perayaan Tahun Baharu Cina. 

Mengusahakan kedai runcit di kampung berkenaan sejak 1981, Tan Cheng Hock, 74, dan isterinya Low Lan Yin, 74, menjadi simbol keharmonian dan memperkukuhkan lagi hubungan bersama masyarakat Melayu di situ umpama keluarga.

Advertisement

“Saya sudah lama buka kedai di sini. Dari dulu lagi orang kampung datang beli barang dan lama-kelamaan kami jadi macam keluarga. Hubungan baik yang terjalin dengan penduduk kampung membuatkan saya dan keluarga berasa selesa,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Warna Warni.

Cheng Hock dan isterinya juga tidak ketinggalan berkongsi buah limau dengan penduduk kampung setiap kali meraikan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun berlainan kaum dan agama, semangat hormat-menghormati sentiasa menjadi pegangan dalam kehidupan kami bermasyarakat. Kami saling memahami dalam apa jua keadaan seperti setiap kali perayaan dan kenduri,” katanya.

Cheng Hock berkata sokongan jiran tetangga dan suasana kampung yang harmoni menjadi faktor dia dan isteri betah menjalani kehidupan di kampung itu.

Tahun Baharu Cina kali ini dia dan keluarga menghias rumah secara sederhana dengan tanglung dan lampu berwarna-warni bagi memeriahkan suasana perayaan.

“Tiga anak lelaki saya berumur antara 36 hingga 40 tahun, masing-masing menetap di luar Perlis dan akan balik untuk bersama meraikan Tahun Baharu Cina, walaupun sederhana tetapi penuh kegembiraan,” katanya.

Jiran kepada Cheng Hock, Nor Sawani Sarudin, 19, berkata sejak kecil dia memanggil warga emas itu dengan panggilan “Uncle” dan menyifatkan keluarga beliau mencerminkan perpaduan utuh yang lama terjalin dalam kalangan penduduk Kampung Warna Warni.

"Uncle sering menyertai aktiviti kampung dan sentiasa bertegur sapa dengan penduduk tanpa mengira kaum. Setiap kali Tahun Baharu Cina, uncle tak pernah lupa beri buah limau atau biskut. Hubungan kami memang rapat sejak dulu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video