Skip to main content

Malaysia

Tan Sri Azman Hashim dilantik Canselor baharu OUM

61497924118_TanSriAzmanHashim.jpg
Tan Sri Azman akan menyampaikan skrol kepada 7,000 graduan pada konvokesyen yang berlangsung selama empat hari. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Tokoh perbankan Tan Sri Azman Hashim dilantik sebagai Canselor Open University Malaysia (OUM) yang baharu pada sidang pertama Majlis Konvokesyen ke-30 universiti itu hari ini.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pro-Canselor universiti berkenaan selama kira-kira dua dekad akan menyampaikan skrol kepada 7,000 graduan pada konvokesyen yang berlangsung selama empat hari.

OUM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, konvokesyen itu meraikan graduan daripada pelbagai latar belakang termasuk graduan tertua, Muhammad Tasan, 75, yang menerima Sarjana Pengurusan, dan doktor perubatan Dr Loh Yunn Hua, 72, yang memperoleh Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian.

“Pencapaian mereka diiktiraf melalui Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat, seiring dengan tumpuan universiti itu terhadap pendidikan berterusan. 

“Sidang pertama itu turut memberikan penghormatan kepada Siti Hadjar Mansor Awang Hitam, ahli bina badan wanita yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian. Beliau dianugerahkan Anugerah Khas Universiti-Ikon Sukan kerana kecemerlangannya dalam sukan yang didominasi kaum lelaki dan pada masa yang sama berjaya menamatkan pengajian,” menurut kenyataan itu.

OUM turut memaklumkan, Anugerah Pro-Canselor akan disampaikan kepada dua usahawan terkemuka iaitu Datuk Ong Kee Seng, graduan PhD (Pentadbiran Perniagaan), pengusaha lapang sasar terbesar di Asia Tenggara, serta Datuk Mohd Jafri Abd Razak yang memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan  dan graduan doktor falsafah OUM pertama melalui laluan APEL.Q, yang mengiktiraf pengalaman kerja terdahulu. 

Selain itu, majlis konvokesyen esok akan meraikan seorang graduan MBA dari Penjara Kajang, sekali gus membuktikan peranan penting pendidikan dalam proses pemulihan dan pemberian peluang kedua bagi mereka yang berada di dalam sistem penjara.

Sementara itu, Presiden yang juga Naib Canselor OUM Profesor Datuk Dr Ahmad Izanee Awang berkata kepelbagaian latar belakang graduan mencerminkan misi universiti itu dalam meluaskan akses pendidikan tinggi tanpa mengira usia atau keadaan individu.

“Daripada guru, jururawat dan profesional lain sehinggalah kepada selebriti, atlet, malah banduan dalam penjara, para pelajar kami adalah contoh terbaik kepada moto OUM - Universiti untuk Semua.

“Jenama pendidikan terbuka, jarak jauh dan digital kami membolehkan ramai individu bekerja dan belajar pada masa yang sama. Kami berharap OUM akan terus diterima oleh lebih ramai rakyat Malaysia pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video