KEGANASAN dan serangan ke atas pejuang tanah adat kebanyakannya berlaku di Sarawak, dedah Amnesty International menerusi laporannya bertajuk The Forest is Our Heartbeat: The Struggle to Defend Indigenious Land in Malaysia baru-baru ini.

Memetik lanjut laporan itu, masyarakat Orang Asli acapkali diganggu sekumpulan gengster, yang mana mereka dakwa kumpulan ini cuba merampas tanah yang telah mereka duduki sekian lama, tanpa melalui saluran undang-undang yang sedia ada.

“Saya terpaksa melutut, dan mereka memukul saya dengan batang cangkul, dan pedang samurai. Mereka pukul saya banyak kali, kemudian mereka cabut lari…,” kata Surik Muntai, seperti terkandung dalam laporan itu.

Surik memberitahu pekerja Amnesty International, akibat serangan yang belaku sekitar Mac 2013 itu, beliau mengalami kecederaan parah di bahagian muka, lengan, dan dada, dan terpaksa dirawat di hospital selama tiga bulan.

Apa yang menyedihkan, jelas beliau lagi, laporan polis seakan-akan tidak bermakna apabila penyerang itu dibebaskan tanpa tindakan lanjut hanya selepas tiga hari ditahan.

Namun, Surik berkata, ia sama sekali tidak akan mematahkan semangatnya, mahupun suku kaumnya, untuk mempertahankan tanah adat yang telah mereka duduki sekian lama di negeri itu.

Kes Bill Kayong

Bagaimana pula dengan kes Bill Kayong, setiausaha Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), yang ditembak mati pada Jun 2016?

Walaupun pembunuhnya telahpun dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun ini, ia sama sekali tidak dapat menenangkan kegusaran masyarakat setempat dalam isu mempertahankan tanah adat bumiputera mereka.

Memetik laporan media, sehingga November 2017, lebih 400 kes NCR di seluruh Sarawak masih ditangguh, 10 kes masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi negeri dan tiga kes telah ditolak di Mahkamah Persekutuan.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian pada Julai lepas dilaporkan berkata, Usul Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) yang diluluskan untuk mengiktiraf konsep pemakai menua dan pulau galau untuk mendapatkan hak adat bumiputera (NCR) bagi tanah di Sarawak, dilihat sangat mengecewakan.

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk menidakkan peranan Barisan Nasional sebagai kerajaan memerintah yang lepas, mahupun kerajaan Gabungan Parti Sarawak, tapi tumpuan kini terarah bagaimana peranan Baru Bian, Ahli Parlimen Selangau yang kini merupakan ahli jemaah kabinet Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan dalam menyelesaikan isu ini.

Tumpuan turut terarah kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Bandar Kuching yang kini juga merupakan ahli jemaah kabinet.

Dan sudah pastinya, tumpuan turut terarah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara rasminya telah menjadi antara parti politik di Sarawak semalam.

Janji bernombor 48 yang terkandung dalam Manifesto Pilihan Raya Umum mereka, dimulakan dengan menyatakan kegagalan Barisan Nasional dalam mempertahankan tanah adat masyarakat orang Asli di Sabah dan Sarawak.

“Barisan Nasional telah gagal menjaga hak tanah adat di Sarawak dan Sabah. Malahan tanah adat mereka telah dijual atau dipajak pada harga yang sangat rendah kepada syarikat pembalakan dan pemaju ladang kelapa sawit.

“Untuk memperbaiki pengabaian hak tanah pribumi Sabah dan Sarawak ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan syor-syor dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal / Asli yang disediakan oleh Suhakam,” antara kenyataan yang terkandung dalam manifesto itu.

Kini, masyarakat Malaysia yang prihatin, mahu melihat ia ditunaikan, bukan semata-mata ayat ayat manis yang dilontarkan untuk meraih undi dan sokongan.

Sebabnya hanya satu, masyarakat orang Asli di Sabah dan Sarawak juga merupakan rakyat Malaysia, berkongsi hak dan keistimewaan yang sama, sepertimana yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Berikan mereka kembali hak itu.



* Firdaus Azil merupakan wartawan yang mengikuti rapat hal ehwal semasa dan perkembangan politik negara.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.