IPOH: "Saya tak akan menari ikut gendang orang," kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak supaya beliau dan UMNO membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa seluas 188 hektar di Seri Iskandar.

Saarani menegaskan tiada keperluan bagi beliau atau UMNO membuat laporan kerana satu laporan sudah memadai untuk pihak berkuasa memulakan siasatan, khususnya berkenaan isu tersebut.

"Untuk membolehkan mana-mana agensi melakukan siasatan, memadai satu laporan (polis atau SPRM).

"Saya lihat sudah ramai yang membuat laporan , sudah tentu pihak polis dan SPRM akan membuat siasatan berdasarkan laporan itu.

"Jika pihak yang bertanggungjawab ingin buat apa-apa siasatan maka kerajaan negeri dan agensinya tidak akan sekali-kali melindunginya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Belia Perak Bertadarus dan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) negeri Perak, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed dan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mazlan Mohamad.

BACA: SPRM mulakan siasatan penjualan tanah lapangan terbang Sri Iskandar

BACA: Tanah lapangan terbang: Bekas Exco lapor SPRM, MB dan UMNO wajar ambil langkah sama- Howard Lee

Dalam pada itu, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak menjelaskan, terpulang kepada mana-mana pihak untuk membuat sebarang tanggapan terhadap pendiriannya tidak membuat laporan berhubung isu berkenaan.

Ia berikutan timbul beberapa spekulasi bahawa pentadbiran kerajaan negeri terlibat dengan isu tersebut.

"Sekarang ini peringkat semua orang nak mengambil bahagian dan mendapat perhatian.

"Yang penting kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan, kita percaya dan yakin mereka akan buat siasatan secara telus," katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya keputusan membatalkan Kebenaran Merancang (KM) kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai isu itu.

Semalam, bekas Exco ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Howard Lee Chuan How berkata Saarani dan UMNO negeri wajar membuat laporan mengenai isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa itu.

Howard juga mahu isu berkenaan diselesaikan secara tuntas, demi keadilan untuk rakyat Perak.

Selain itu, empat bekas exco kerajaan negeri tampil membuat laporan di pejabat SPRM Perak supaya satu siasatan lengkap dilakukan terhadap pihak yang terbabit di dalam penyalahgunaan kuasa berhubung isu tersebut.