IPOH: Menteri Besar dan UMNO Perak wajar melakukan pendekatan yang sama dengan melaporkan isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa seluas 188 hektar di Seri Iskandar kepada pihak berkuasa.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Exco kerajaan negeri, Howard Lee Chuan How yang mahu isu berkenaan diselesaikan secara tuntas, demi keadilan untuk rakyat Perak.

Katanya lagi, selepas laporan polis dibuat oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) semalam, kini empat bekas Exco kerajaan negeri tampil membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

"Saya rasa perkara itu (laporkan isu penjualan tanah lapangan terbang) kena serah kepada UMNO sendiri sama ada mereka mahu buat.

"Sebab UMNO bukan PH, mereka yang melontarkan kenyataan (isu berkenaan). Bukan UMNO sebenarnya tetapi Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

"Kalau UMNO rasa ada perkara yang perlu disiasat, mereka perlu buatlah (laporan polis/SPRM). Kami sudah buktikan hasrat dengan tindakan membuat laporan di sini (SPRM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di pejabat SPRM Perak, di sini pada Selasa.

Hadir sama, tiga orang bekas Exco kerajaan negeri,Datuk Asmuni Awi, Tan Kar Hing dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Terdahulu, Asmuni mewakili tiga Exco kerajaan negeri yang lain membuat laporan SPRM supaya satu siasatan lengkap dilakukan terhadap pihak yang terbabit di dalam penyalahgunaan kuasa berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang pernah memegang jawatan sebagai bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengesahkan tiada sebarang agenda mesyuarat membincangkan tentang penjualan tanah tersebut.

"Saya nak mengesahkan di mana-mana mesyuarat Lembaga Pengarah yang saya hadir, tidak ada satu agenda membincangkan penjualan tanah di Seri Iskandar daripada PKNP kepada orang ketiga.

"Ia tidak pernah disuarakan dan dibincangkan... itu saya nak sahkan. Malah di Mesyuarat Exco sendiri tiada bincang jual tanah itu.

"Saya nak bersihkan nama keseluruhan Exco PH semasa kita memerintah dan Lembaga Pengarah PKNP, bahawa kami tidak tahu menahu berkenaan penjualan itu," katanya lagi.

Sebelum ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri tidak akan berselindung dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, sekiranya terdapat laporan berhubung isu tersebut.

Saarani menegaskan terpulang kepada pihak yang terbabit sekiranya mahu membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa.

Semalam, Pemuda PH negeri Perak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Ketua Pemuda PH Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata pihak polis mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk menjalankan siasatan, selain mendedahkan dalang sebenar yang bertanggungjawab ke atas isu terbabit.