Tanah rizab Melayu di bandar berpotensi jadi pemacu ekonomi masyarakat Melayu

Tanah rizab Melayu di kawasan bandar seperti Bandar Malaysia berpotensi menjadi pemangkin transformasi ekonomi masyarakat Melayu sekiranya diurus secara strategik, telus, inklusif dan berpandangan jauh, kata Mohd Safar. - Gambar hiasan Bernama
KUALA LUMPUR: Tanah rizab Melayu di kawasan bandar seperti Bandar Malaysia berpotensi menjadi pemangkin transformasi ekonomi masyarakat Melayu sekiranya diurus secara strategik, telus, inklusif dan berpandangan jauh.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Press Institute (MPI), Mohd Safar Hasim berkata, usaha menambah keluasan tanah rizab Melayu dalam kawasan bandar boleh memberikan peluang kepada masyarakat Melayu memiliki pegangan dalam projek pembangunan bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat berkenaan.
"Jika diurus dengan baik, tanah ini mampu meningkatkan nilai aset masyarakat Melayu dan mengekalkan kehadiran mereka dalam arus pembangunan moden sekali gus mengelakkan marginalisasi dalam ruang bandar," kata bekas ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan wartawan itu kepada Bernama.
Namun begitu, beliau berkata, langkah berkenaan juga boleh menimbulkan risiko sekiranya tanah rizab Melayu hanya dijadikan "simbolik" tanpa manfaat ekonomi sebenar disebabkan nilai pasaran rendah akibat sekatan undang-undang atau potensi monopoli oleh elit atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh menafikan faedah kepada masyarakat Melayu biasa.Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menggubal pelan induk khusus bagi tanah rizab Melayu di bandar yang mempunyai sasaran jelas terhadap penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Melayu, peluang pekerjaan serta akses kepada perumahan mampu milik.
"Kerajaan mesti memastikan tanah rizab Melayu tidak hanya dipamerkan sebagai kuota dalam pelan induk, tetapi benar-benar menjadi platform ekonomi," katanya.
Beliau turut mengusulkan penubuhan badan berkanun atau lembaga amanah profesional bagi mentadbir tanah rizab Melayu di bandar secara bebas daripada campur tangan politik, selain mewujudkan mekanisme perkongsian keuntungan agar manfaat pembangunan diagihkan secara adil kepada pemilik asal dan komuniti setempat.
"Semua transaksi, sewaan dan projek mesti diumumkan secara terbuka untuk mengelakkan manipulasi selain mengguna pakai mekanisme rundingan awam supaya suara masyarakat Melayu setempat diambil kira," katanya.
Dalam aspek perundangan, Mohd Safar berkata, undang-undang sedia ada yang berasaskan Enakmen Rizab Melayu 1913 sudah tidak sesuai dengan keperluan semasa kerana diwujudkan dalam konteks agraria kolonial yang menumpukan aspek perlindungan, bukan pemerkasaan.
"Objektifnya adalah untuk mengekalkan orang Melayu sebagai petani dan penghuni desa, bukan sebagai pemain ekonomi bandar. Maka, apabila tanah rizab Melayu cuba dibawa masuk ke dalam konteks pembangunan bandar seperti Bandar Malaysia, berlaku ketidakserasian yang ketara," katanya.
Beliau menambah antara kelemahan struktur undang-undang lama ialah sekatan urus niaga sehingga menyukarkan tanah dimajukan secara komersial, menjadikan nilai pasaran rendah kerana tanah tidak boleh dijadikan cagaran atau dijual kepada bukan Melayu.
Selain itu, undang-undang sedia ada tiada mekanisme pembangunan moden seperti perkongsian pintar, pelaburan asing atau pemilikan berstruktur.
"Mengubah undang-undang lama ibarat membaiki rumah lama, walaupun dinding dicat semula dan bumbung ditukar, asasnya masih sama dan tidak mampu menampung cita-cita baharu seperti pembangunan teknologi, ekonomi digital, atau integrasi global," katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Safar menekankan keperluan penggubalan undang-undang baharu yang menyediakan ruang bagi penggunaan komersial bandar tanpa menjejaskan pemilikan Melayu, serta menetapkan mekanisme pembiayaan dan pelaburan yang mesra pasaran dan patuh syariah.
Beliau turut menyatakan bahawa undang-undang baharu berkenaan harus menyediakan ruang untuk perkongsian strategik dengan entiti bukan Melayu melalui pajakan, usaha sama atau dana amanah, selain menetapkan indikator impak sosial dan ekonomi supaya tanah benar-benar memberikan manfaat kepada komuniti Melayu setempat.
"Kita perlukan undang-undang baharu, satu kerangka yang dibina dari awal dengan semangat dan objektif yang sesuai dengan zaman.
"Walaupun mengambil masa untuk digubal dan diluluskan, undang-undang baharu ini lebih mampan dan berkesan. Ia bukan sekadar membaiki rumah lama, tetapi membina rumah baharu yang kukuh, moden dan sesuai dengan aspirasi generasi Melayu bandar," katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan tanah rizab Melayu seluas 20.23 hektar di Bandar Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Petronas selaku pemilik tanah Bandar Malaysia sedang merencana pelan pembangunannya dan akan memulakan fasa pembangunan menjelang akhir 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami