TANAH MERAH: Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau selepas suspek melanggar kenderaan polis ketika cubaan melarikan diri daripada ditahan di tepi sawah Jalan Masjid Tok Che Dol, di sini, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kejadian bermula kira-kira jam 5.30 petang apabila anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah mengesan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut kenderaan.
Advertisement
Menurutnya, polis mengejar kenderaan suspek berusia 50-an itu sehingga ke kawasan sawah.
“Suspek kemudiannya secara tiba-tiba memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif dengan mengundurkannya pada kelajuan tinggi sehingga melanggar bahagian hadapan kenderaan polis.
“Walaupun diarahkan keluar, suspek enggan memberi kerjasama dan terus cuba melanggar anggota dengan mengundurkan kenderaan beberapa kali,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, susulan tindakan berbahaya itu, pegawai serbuan mengarahkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek.
“Tembakan pertama mengenai tayar kanan belakang diikuti tembakan kedua mengenai tayar kiri belakang selepas suspek masih enggan menghentikan tindakan agresifnya.
“Tindakan berkenaan dibuat bagi mempertahankan diri selepas suspek bertindak agresif,” katanya.
Menurut beliau, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan akhirnya berjaya ditahan tanpa sebarang kecederaan dan kenderaan tersebut turut dirampas.
Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. -Sinar Harian