SUNGAI BULOH: Kesemua 21 mayat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali di Hulu Selangor sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, di sini bagi menjalani proses bedah siasat.

Daripada jumlah itu, lima adalah kanak-kanak, 12 wanita dan empat lelaki manakala Identiti mereka masih belum dikenal pasti, setakat ini. 

Sumber memberitahu, setakat pukul 11 malam,  empat mayat sudah selesai proses pengecaman oleh ahli keluarga manakala lima lagi mayat sudah bersedia untuk menjalani proses itu.

Juga difahamkan proses bedah siasat tidak akan dihentikan sehingga selesai kesemua mayat.


LAPOR LANGSUNG: Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 21 orang, 12 dikhuatiri hilang

Pasukan perubatan Jabatan Forensik telah menyediakan lima pasukan petugas terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan yang turut dibantu petugas Jabatan Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam bagi menjalankan bedah siasat.

Astro AWANI difahamkan, kesemua mayat tragedi tanah runtuh dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi memudahkan proses koordinasi mangsa.

Sementara itu, mangsa yang cedera akan ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang. Astro AWANI turut difahamkan seorang mangsa yang ditempatkan di HKL berada dalam keadaan kritikal ketika ini. 

Operasi mencari dan menyelamat (SAR)) masih berjalan untuk mengesan 12 lagi individu yang dikhuatiri masih hilang dalam tragedi tanah runtuh itu.