SHAH ALAM: Kelulusan kebenaran merancang (KM) yang diberikan kepada pengusaha Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali adalah untuk pembinaan resort.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han kelulusan tersebut diberikan bukan di tapak perkhemahan tersebut.

Beliau menjelaskan pengusaha tersebut mengemukakan permohonan untuk membina resort peranginan di kawasan berhampiran tapak kejadian tanah runtuh.

"Di atas lot tersebut telah mempunyai kelulusan kebenaran merancang, di bawah sedikit bukan betul-betul di tapak perkhemahan.

"Mereka sudah kemukakan permohonan dan telah mendapat kelulusan sebelum ini, untuk resort peranginan," dalam sidang media khas berhubung insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Dis lepas.

Beliau juga memaklumkan Kerajaan Selangor akan mewujudkan garis panduan baharu bagi aktiviti perkhemahan di negeri itu secepat mungkin.

Garis panduan itu diwujudkan berikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai syarat khusus bagi aktiviti tapak perkhemahan kerana ia merupakan kegiatan sampingan yang dijalankan oleh pemilik pusat peranginan.

"Oleh itu, kerajaan negeri dalam usaha menyegerakan bancian terhadap jenis dan jumlah antaranya aktiviti perkhemahan serta kegiatan yang tidak dinyatakan secara jelas dalam kategori perniagaan.

"Bancian juga akan mengenal pasti lokasi aktiviti tersebut untuk melihat kawasan sensitif alam sekitar dan tempat yang tidak sesuai atau berisiko bagi aktiviti rekreasi," katanya lagi.

Ng berkata sebelum ini, bancian telah dilaksanakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berdasarkan rekod pada 2018 dengan 61 tapak perkhemahan dikenal pasti di daerah berkenaan.


DAPATKAN LIPUTAN KOMPREHENSIF INSIDEN TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI


"Kesemua 61 tapak perkhemahan di Hulu Selangor ini ada yang berlesen dan tidak, selain ada yang menceroboh tanah milik kerajaan. Susulan itu, kita perlu melakukan kemas kini bukan sahaja di MPHS malah di seluruh negeri," katanya

Ng berkata kerajaan negeri juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dalam aktiviti rekreasi dan perkhemahan seperti pengusaha, persatuan rekreasi dan perkhemahan, selain agensi kerajaan.

Menurutnya, MPHS juga akan memanggil pengusaha tapak perkhemahan lain bagi menerangkan garis panduan penganjuran aktiviti perkhemahan yang selamat.

"Semua dapatan ini akan membantu kerajaan negeri merangka garis panduan supaya aktiviti perkhemahan dan rekreasi dapat dijalankan dengan selamat serta tidak memudaratkan mana-mana pihak.

"Hanya pengusaha yang patuh kepada garis panduan akan diperakui oleh PBT dan Tourism Selangor untuk menjalankan aktiviti perkhemahan khususnya," katanya.

Mengulas pertanyaan sama ada pemilik tapak perkhemahan Father's Organic Farm perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu, beliau menjelaskan pihaknya menyerahkan siasatan tersebut kepada pihak polis.

Setakat 11.16 pagi tadi, satu lagi mayat mangsa insiden tanah runtuh itu ditemukan menjadikan jumlah kematian kini 26 orang, manakala tujuh masih hilang dan 61 selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.