Tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa ke-26 berpelukan dengan anjing, disahkan Uncle Eric - Polis

Fareez Azman
Disember 22, 2022 05:58 MYT
Uncle Eric ditemui pada Rabu sekitar 11.16 pagi di Sektor B, dalam keadaan sedang berpelukan dengan salah seekor daripada anjingnya. - Foto tular di media sosial
HULU SELANGOR: Mangsa ke-26 yang ditemui di sektor B dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm disahkan Eric Wong Chai Chong atau lebih dikenali panggilan Uncle Eric.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dalam sidang media di lokasi kejadian pada Khamis.
"Waris yang hadir pada Isnin lalu di lokasi kejadian memang isteri dan anaknya. Jasad mangsa telah dituntut oleh keluarga mereka di Hospital Sungai Buloh," katanya.
Sebelum ini, empat ahli keluarga mangsa hadir di lokasi kejadian pada petang Isnin untuk mendapat pengesahan mengenai kehilangan lelaki berkenaan.
BACA: Mayat mangsa ke-26 ditemui berpelukan dengan anjing peliharaan
Turut tular di laman sosial, gambar Chai Chong bersama tiga ekor anjing peliharaannya sekali gus menguatkan spekulasi bahawa mangsa yang ditemui berpelukan dengan anjingnya pada Rabu.
Semalam, mayat seorang lelaki dewasa ditemukan berpelukan dengan seekor anjing yang telah mati di sektor B.
Pencarian di lokasi turut menemui seekor lagi anjing dipercayai milik mangsa.
Jelas Bomba, operasi diteruskan untuk mencari seekor lagi anjing milik mangsa selain fokus mencari mangsa yang hilang.
#tanah runtuh #batang kali #uncle eric #mangsa tertimbus bersama anjing #polis