HULU SELANGOR: Mayat lelaki dewasa yang juga mangsa ke-26 ditemui pada Rabu dalam keadaan berpelukan dengan seekor anjing peliharaannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, mayat berkenaan ditemui sektor B, bersama seekor anjing yang telah mati.

Operasi pencarian di sekitar kawasan turut menemui bangkai seekor lagi anjing dipercayai milik mangsa.

"Kita telah jumpa satu mayat di Sektor B, jadi mayat ini kita kenal pasti sebagai satu lelaki dewasa, namun umur tak boleh dianggarkan lagi.

"Setakat ini, mayat telah dibawa keluar dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Untuk makluman, bersama dengan mayat ada dua ekor anjing, telah dikeluarkan juga oleh anggota penyelamat dan diserahkan anjing tersebut kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada petang Rabu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, dengan penemuan itu, beliau percaya lebih banyak mangsa yang hilang akan ditemui anggota mencari dan menyelamat.

"Semakin lama semakin baik, Alhamdulilah yang kita jumpa bukan di Sektor C, tapi di sektor B, kita letakkan satu jengkaut tanah.

"Hari ini kita jumpa dia (mayat mangsa) berpelukan dengan sekor anjing, dan seekor lagi di kawasan sekitar," katanya berkenaan mangsa itu yang dipercayai membawa tiga ekor anjing peliharaan ke tapak tragedi.

Tambah Hafisham, siasatan awal mendapati mangsa berkhemah di sektor A iaitu di Hillview, namun dipercayai telah dibawa arus sehingga ke sektor B lokasi ditemui.

"Kemudian besar dia berkhemah di sektor A tapi dibawa arus ke sektor B.

"Maknanya sektor B dipercayai semua mangsa dah tiada di situ jadi kita tumpu di C dan A," katanya lagi.