BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sembilan lagi mangsa yang hilang akan diteruskan sehingga jam 4 pagi ini, jika keadaan cuaca mengizinkan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, selepas tempoh itu operasi SAR akan ditangguhkan sementara waktu dan bersambung semula pada jam 9 pagi Ahad.

Setakat jam 9 malam, beliau berkata tiada sebarang penemuan baharu diperolehi.

“Saya ingin nyatakan bahawa pihak kami memberi fokus kepada lima agensi utama, yang mempunyai kepakaran dalam kita meneruskan operasi terutama sekali di waktu malam.

“Saya difahamkan setakat operasi ini walaupun keadaan cuaca hujan (pada waktu ini) tetapi saya difahamkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan usaha-usaha untuk mencari mangsa yang mungkin masih hilang atau tertimbus pada malam ini,” katanya dalam sidang media di sini malam ini.

Jelas Suffian, fokus pencarian pada malam ini akan meliputi kesemua sektor iaitu A (Hillview), B (Farmview) dan C (Riverside).

“Sudah semestinya dengan keadaan cuaca sekarang daripada pandangan dan sebagainya, sudah tentu ia memberi cabaran kepada pasukan-pasukan penyelamat,” tambah beliau.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Satu mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban 24

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis dalam temu bual bersama Astro AWANI pula berkata, operasi SAR pada Ahad dijangka memberi fokus kepada sektor A dan C.

Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada penemuan tiga mayat di sektor A pada Sabtu, dan sektor C pada Jumaat.

“Selain itu, kita turut menambah jentera berat untuk membantu operasi SAR esok bagi mencari mangsa yang hilang bagi mengalihkan pokok yang dipercayai menghempap mangsa. 

“Sementara bagi sektor B pula, pihak bomba percaya bahawa mangsa-mangsa yang terperangkap kemungkinan besar dibawa ke sektor C,” katanya.

Setakat ini, seramai 24 mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm.