IPOH: Masih terdapat pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh Seksyen 27, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun, katanya, unit cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut, bagi mengelakkan sebarang risiko lebih buruk.

Beiau berkata, pihak JKR juga mempunyai alat yang berupaya mengesan pergerakan tanah di jalan menuju ke Cameron Highlands.

"Semalam dimaklumkan masih ada tanda-tanda pergerakan tanah di bukit sepanjang jalan itu, sebab itu kita tutup jalan ke Cameron Highlands itu.

"JKR memang ada satu alat yang boleh mengesan pergerakan tanah. Kita harap mereka akan sentiasa peka dengan perkara itu.

"Ini (tanah runtuh) di bawah tindakan unit cerun JKR. Sudah tentu kita tutup jalan masuk ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai," katanya.

Saarani menambah, buat sementara waktu, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu dari Tapah untuk ke Cameron Highlands.

Saarani berkata demikian selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Perak, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Dewan Belia Yang Ketiga di Hotel Casuarina@ Meru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed.

Dalam pada itu, Saarani turut menasihati pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati ketika melalui jalan yang bercerun atau berisiko.

"Nasihat saya kepada mereka yang selalu melalui jalan bercerun, tak kiralah Cameron Highlands atau di lebuh raya.

"Kita tahu ada risiko. Dan kita tak tahu bila hujan, air masuk dalam tanah, dan ia tidak kuat untuk memegang air, maka kebarangkalian berlaku runtuhan itu tinggi," katanya lagi.

Pada Khamis, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan pada jam 1.44 petang mengenai kejadian tanah runtuh itu meragut dua nyawa.

Mangsa ialah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng.