BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menunggu laporan lengkap berhubung kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang, pada Jumaat lepas yang meragut lima nyawa, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya memberi perhatian serius berhubung kejadian itu kerana tidak mahu perkara tersebut berulang pada masa hadapan.

"Tentang insiden terbaharu di Cameron Highlands, kementerian (NRES) sedang menunggu laporan lengkap dan perlu mendapat gambaran sebenar kejadian tersebut sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bersama pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri juga sedang kumpul maklumat tersebut dan akan memaklumkan tindakan segera yang perlu diambil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR ditemui selepas merasmikan Pejabat PKR Cabang Bagan di Taman Segar Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata laporan kejadian itu melibatkan mineral geosains, kawasan perhutanan dan alam sekitar yang perlu diberi perhatian serius.

Jumaat lepas, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita yang merupakan pekerja ladang sayur, tertimbus selepas rumah yang mereka huni mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh pada kira-kira 2.40 pagi di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands.

Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata kebun sayur seluas kira-kira 4.31 hektar itu diusahakan secara haram sejak lebih setahun lepas, malah pernah disita Jabatan Perhutanan pada April dan pengusahanya juga pernah ditahan sebelum ini.

-- BERNAMA