SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang dan mengelakkan perjalanan pada waktu malam terutama laluan berisiko berikutan kejadian tanah runtuh di negeri ini.

Pengarahnya Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata ini kerana sejak bulan lepas, terdapat sekurang-kurangnya tiga ke empat kali runtuhan berbentuk sinkhole atau lubang benam dan cepat mendap sehingga memberi kesan besar dan merisikokan pengguna.

"Perkara itu memang perlu tindakan segera bagi memastikan laluan selamat. JKR memang sentiasa memantau lokasi sering berlaku tanah dan cerun runtuh, ada beberapa tempat namun terkawal, tidak boleh dedahkan untuk elakkan kerisauan masyarakat.

"Kita sekarang dalam musim Monsun Timur Laut dengan hujan lebat jadi beberapa kawasan turut terkesan dan senang mengalami keruntuhan, pengguna jalan raya perlu sentiasa berhati-hati, jarak penglihatan juga terhad pada waktu malam," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan projek membina dan membaiki cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor di sini hari ini.

Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai keadaan terkini jalan raya termasuk lokasi tanah runtuh menerusi laman sesawang JKR selain merujuk pusat bencana yang diwujudkan di Seremban.

Terdahulu, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata RM2.01 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor yang selesai dibina pada 17 Nov lepas dan memanfaatkan 21 keluarga.

Beliau berkata runtuhan cerun di kawasan milik persendirian itu telah terjadi sejak 2014 berikutan gelongsoran tanah disebabkan hujan lebat.

-- BERNAMA