Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan menandatangani Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 selagi tidak mendapat kesepakatan daripada kesemua 11 anggota parlimen di Kuala Lumpur berhubung pelan pembangunan tersebut.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya bakal mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mereka dalam masa terdekat sebelum membuat sebarang keputusan.

"Banyak keperluan yang perlu diteliti dan kena buat perbincangan mendalam... ada antara draf itu tidak boleh digunakan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Fesyen Islamik Asia 2017, di sini pada Selasa.

Minggu Fesyen Islamik Asia itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini dari 30 Mac hingga 2 April.

Tengku Adnan berkata terdapat perancangan pembangunan yang dinyatakan di dalam pelan itu tidak lagi relevan untuk diguna pakai dan kementerian harus meneliti kembali pelan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menerangkan tentang masalah yang beliau maksudkan itu.

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 dilancarkan pada Mei 2008 dan dijadualkan untuk diwarta pada 1 Julai 2012, namun ia ditangguhkan buat kali kedua kepada 28 Feb 2013 dan sehingga kini draf pelan itu belum lagi diwartakan.

Semalam, sebuah media tempatan melaporkan Tengku Adnan sebagai berkata beliau tidak akan menandatangani atau meluluskan rancangan itu kerana mendakwa terdapat ruang untuk penyelewengan berlaku.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menjelaskan bahawa selepas keputusan dibuat, semua kawasan yang terlibat dengan pelan struktur itu akan diwartakan dan dibangunkan mengikut pelan yang ditetapkan.

"Saya harap pemimpin pembangkang tidak mempolitikkan isu ini... sepatutnya mereka (pembangkang) turun padang lihat sendiri apa masalah rakyat," katanya.

-- BERNAMA