PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala kelemahan dalam pentadbiran kerajaan mahupun agensinya perlu ditangani secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata, kerajaan sememangnya tegas dalam melaksanakan tanggungjawab, termasuk terhadap anggota Jemaah Menteri, namun, sebarang kesalahan hendaklah dibawa ke saluran sewajarnya untuk disiasat dan diputuskan secara telus.
Advertisement
"Saya tidak datang di sini (perhimpunan bulanan) untuk pertahankan apa-apa kelemahan. Kita ada masa tegas dan keras, termasuk rakan-rakan di Jemaah Menteri tetapi bila ada sumbangan dan pengorbanan, kita terima dengan baik.
"Ini tidak (boleh seolah-olah) beri gambaran teruk benar. Cara penyelesaian itu juga harus berhemah. Orang yang berkorban puluhan tahun dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya dan kesalahannya yang besar, itu ikut proses undang-undang," kata Perdana Menteri ketika berucap pada sesi perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengambil contoh kes yang sedang dibicarakan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menegaskan, proses siasatan perlu dihormati dan tidak wajar mana-mana pihak dihukum sebelum siasatan selesai.
Perdana Menteri juga menambah, beliau tidak memilih pendekatan tergesa-gesa atau menghukum tanpa penelitian.
"Saya tidak pilih jalur itu. Siasat dahulu dan jika perlu tindakan, kita ambil tindakan. Jika perlu hukuman, kita ikut proses hukuman.
"Jangan kita gopoh hanya kerana individu itu tidak kita senangi, bukan dalam kelompok kita atau kerana dendam, apatah lagi jika beliau pernah mengambil tindakan terhadap kelompok yang dikaitkan dengan kita," katanya.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru semua pihak supaya bermuhasabah dan menilai kelemahan diri sebelum menghakimi orang lain.
Beliau mengakui tiada siapa yang sempurna, termasuk dirinya sendiri, dan setiap individu mempunyai kekurangan yang perlu diperbaiki.
"Saudara ingat saya ini sudah terbaik, sempurna? Astaghfirullah, saya tahu kelemahan saya. Jangan kita letakkan standard A+ kepada orang lain sedangkan diri sendiri berada pada tahap D-," katanya.
Menurut beliau, kecenderungan menilai orang lain secara terlalu keras tanpa menilai diri sendiri merupakan cabaran kemanusiaan yang perlu diperbaiki.
Sehubungan itu, beliau berkata, Ramadan merupakan kesempatan terbaik untuk semua pihak memperbaiki diri agar kelemahan dapat ditingkatkan dan tidak terus merosot.