HAMILTON: Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar pada Rabu menyatakan bahawa pelanggaran berterusan rejim Israel terhadap gencatan senjata serta tindakannya di wilayah Palestin yang diduduki menjejaskan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kita bermesyuarat hari ini (Rabu) pada saat yang kritikal. Di satu pihak, usaha diplomatik dipergiat bagi memperkukuh gencatan senjata, mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dan memajukan pelaksanaan pelan komprehensif untuk menamatkan konflik Gaza yang disahkan melalui Resolusi 2803 Majlis Keselamatan.
Advertisement
“Di pihak yang lain, pelanggaran berterusan rejim Israel terhadap gencatan senjata, pengilhakan, cubaan serta tindakan menyalahi undang-undang di seluruh wilayah Palestin yang diduduki terus menjejaskan usaha ini dan mengancam prospek keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Dar pada mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Palestin.
Beliau menegaskan, Pakistan “kekal komited sepenuhnya dalam usaha diplomatik yang bertujuan untuk menghentikan permusuhan secara kekal serta penyelesaian konflik yang adil.”
Dar mengkritik sekeras-kerasnya langkah terbaharu Israel di Tebing Barat yang diduduki, sambil menyatakan bahawa “keputusan terbaharu Israel yang menyalahi undang-undang untuk meluaskan kawalannya ke atas Tebing Barat amat membimbangkan.”
Beliau berkata dalam kenyataan bersama baru-baru ini, Menteri Luar beberapa negara Arab dan Islam mengecam “sekeras-kerasnya langkah dan keputusan yang bertujuan mengenakan kedaulatan Israel yang menyalahi undang-undang, mengukuhkan aktiviti penempatan haram, mengisytiharkan tanah sebagai “tanah kerajaan” serta menguatkuasakan realiti perundangan dan pentadbiran baharu di Tebing Barat yang diduduki.”
“Kami menegaskan bahawa langkah-langkah haram ini adalah terbatal dan tidak sah serta merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tambahnya.
Sambil menyeru supaya gencatan senjata dihormati sepenuhnya, Dar berkata, bantuan kemanusiaan mesti disalurkan dengan selamat tanpa halangan dan proses pembinaan semula perlu dilaksanakan “tanpa pengilhakan, pemindahan paksa atau perubahan terhadap kesatuan wilayah Palestin yang diduduki.”
“Tiada keamanan yang berkekalan tanpa keadilan, tiada kestabilan tanpa kebertanggungjawapan dan tiada penyelesaian mampan tanpa merealisasikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya.
Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak Israel melancarkan serangan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, dengan laporan pembunuhan, penahanan, pemindahan paksa penduduk dan peluasan penempatan haram di seluruh wilayah itu.
Pada Ahad, kerajaan Israel meluluskan cadangan untuk mendaftarkan kawasan luas di Tebing Barat sebagai “harta kerajaan” buat kali pertama sejak Israel menduduki wilayah itu pada 1967.
Menurut angka rasmi Palestin, lebih 1,115 rakyat Palestin maut di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, dan kira-kira 11,500 yang lain cedera sejak serangan bermula, manakala sekitar 22,000 rakyat Palestin turut ditahan dalam tempoh sama.
-- BERNAMA-ANADOLU